Telegram pun tak mahu subahat sekat konten politik

- Advertisement -

Beberapa hari lepas Menteri Komunikasi Dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan kepada media menyatakan bahawa penyedia perkhidmatan Telegram boleh dikenakan tindakan sekiranya terus mengabaikan jemputan kementeriannya untuk berbincang dan mencari penyelesaian berhubung beberapa aduan.

- Advertisement -

Menurut Fahmi, Telegram enggan memberi kerjasama kepada kerajaan dengan tidak hadir walau pun telah dipanggil semenjak Januari. Kata Fahmi, ia adalah bagi menyelesaikan aduan mengenai perkhidmatan disediakan platform berkenaan, yang berkaitan dengan keselamatan awam, aktiviti jualan bahan terlarang, ‘scammer’ serta pornografi.

Pada Sabtu pula Telegram memberi penjelasan kepada New Straits Times bahawa pihaknya tidak memberikan kerjasama terhadap Kementerian Komunikasi dan Digital kerana enggan terlibat dalam ‘sebarang bentuk tapisan politik’.

New Straits Times memetik jurucakap Telegram, Remi Vaughn sebagai berkata, sejak pelancarannya, pihaknya secara giat memantau kandungan berbahaya dalam platform itu, termasuk penjualan bahan terlarang dan lucah.

Daripada apa yang berlaku kita dapat memahami bahawa di sebalik kenyataan bahawa Telegram tidak mahu memberi kerjasama kepada kementerian rupanya ada sesuatu di sebaliknya. Tahniah Telegram kerana tidak tunduk kepada tekanan politik.

Kita semua tahu bahawa aplikasi Tiktok menjadi satu aplikasi yang sangat memberi kesan pada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Perikatan Nasional (PN) sendiri dikatakan berjaya menarik sokongan anak muda hasil kerja pempengaruh-pempengaruh yang membantu membuat konten-konten yang berkesan.

Namun sebaik sahaja PH-BN berkuasa Menteri Komunikasi sendiri mengeluarkan kenyataan akan mengarahkan Tiktok menurunkan hantaran-hantaran yang katanya berbentuk ‘provokatif dan ekstrimis’.

Itulah modal mereka, ‘provokatif dan ekstrimis’. Pada hal apa yang disebut sebagai ‘provokatif dan ekstrimis’ itu sebenarnya adalah konten yang mempunyai kesan buruk pada PH-BN.

Sebagai contoh lagu ‘Hoi Ya Hoi’ yang menjadi lagu kempen PH menyerang BN pada PRU15 kini ‘hilang’ dari Tiktok. Sesiapa yang membuat hantaran baharu menggunakan lagu itu akan diturunkan.

Malah kita masih ingat kejadian Fahmi ‘menyergah’ Berita Harian yang memuat naik sebuah berita ramalan kenaikan OPR oleh seorang pakar ekonomi yang kononnya fitnah dan berita palsu. Namun akhirnya OPR benar-benar naik.

Kejadian ini mendapat kecaman daripada pengamal-pengamal media, malah daripada kesatuan wartawan sendiri. Namun begitu dalam masa yang sama indeks kebebasan media negara tetap naik mencanak kononnya bertambah ‘bebas’.

Baru-baru ini Malaysia diumumkan berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023, berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF), kenaikan mendadak berbanding tangga ke-133 tahun lepas.

Beberapa hari selepas pengumuman tersebut dibuat, penulis ada membaca satu hantaran sebuah page troll politik terkenal yang menulis tentang perkara ini. Dalam hantarannya itu page tersebut menyindir pengumuman itu dengan kapsyen “3 Mei 2023 – Hari Kebebasan Media Sedunia, 4 Mei 2023 – page kena unpublished”.

Slogan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, ‘Media Bebas Tunjang Demokrasi’ menjadi satu bahan sinis kerana media hakikatnya bukan bertambah bebas tetapi tambah terkongkong di bawah pemerintahan PH-BN. Walau pun pemimpin PH-BN dengan penuh rendah diri mengatakan bahawa mereka boleh dikritik, malah ada yang kata nak maki pun boleh, seolah-olah mereka sentiasa berlapang dada, namun ia hanya hipokrasi.

Baru-baru ini dalam sebuah video, seorang aktivis politik terkenal, Che’gu Bard mendedahkan tentang seorang individu, rakyat biasa yang disiasat kerana menulis satu kata makian pada seorang pemimpin negara.

Rakyat yang cuba bersuara ditekan dengan pelbagai cara yang halus. Sekarang ini boleh dikatakan pegawai Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) adalah antara manusia yang paling sibuk di bumi Malaysia ini menyiasat apa sahaja hantaran-hantaran yang melukakan hati menteri-menteri atau menyentuh PH-BN.

Ia sama juga seperti isu hubungan kerajaan negeri dikuasai pembangkang seperti Kelantan sejak sekian lama. Sejak dari dahulu lagi menteri-menteri apabila mengulas perkara ini akan berkata dengan skrip dan nada yang lancar “Kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan Kelantan”. Pada hal seteruk-teruknya Kelantan didiskriminasi.

Kerajaan PH-BN memang pelik. Walaupun media ditekan teruk oleh kerajaan namun indeks kebebasan media boleh meningkat pula. Sama juga indeks harga pengguna dan inflasi yang dikeluarkan kerajaan menunjukkan inflasi berkurang tetapi apa yang rakyat alami kos sara hidup makin tinggi.

Begitulah dengan kerajaan sekarang. Malang bagi PH yang sebelum berkuasa kononnya cuba menonjolkan mereka parti yang terbuka sebagai alternatif terbaik menggantikan BN. Namun hakikatnya mereka lebih kuku besi daripada pemerintahan BN dahulu! Tatakelola tinggal tatakelola.

Kerajaan PH-BN sekat saluran suara rakyat dan mahu supaya rakyat hanya mengatakan kerajaan bagus, semuanya baik-baik sahaja dan tidak ada cacat celanya.

Di mulut mereka katakan kebebasan bersuara, tetapi tindakan mereka menekan rakyat yang bersuara. Mulut bak madu hati bak jadam, pepat di luar rencong di dalam! – HARAKAHDAILY 29/5/2023

- Advertisement -