Media harus diberi kebebasan bersuara – PMX

Anwar dalam majlis perasmian menyambut Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Hotel Casuarina, Meru, Ipoh, Perak pada 28 Mei 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

IPOH: Media seharusnya diberikan kebebasan bersuara dalam menyebarkan apa sahaja maklumat asalkan tidak berbau sifat perkauman.

- Advertisement -

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa media telah memainkan peranan yang amat penting sebagai pencetus idea, penggalas idea dan pemangkin kesedaran nasionalisme rakyat.

“Ini menunjukkan bahawa media memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk pemikiran rakyat. Oleh sebab itu, perjuangan mereka bukan sesuatu perkara yang mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian menyambut Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Hotel Casuarina, Meru, di sini, semalam.

Beliau menyatakan bahawa walaupun diberikan kebebasan bersuara, tetapi itu tidak bermakna bahawa ia boleh digunakan dalam menyebarkan berita-berita palsu dan berbentuk kezaliman.

“Kebebasan media tidak bermakna bahawa berita yang berunsurkan maklumat-maklumat palsu dan kezaliman diberikan kebebasan.

“Ini kerana media bukan sekadar perakam tetapi turut memainkan peranan dalam memupuk nilai yang baik dan menggalakkan keamanan negara dengan idea dan ilmu yang betul,” ujarnya.

Tambah Anwar, beliau menyokong setiap usaha media dalam melawan segala kezaliman, termasuk gejala rasuah walau apa pun kerana menurutnya, peranan sebegini perlu sebagai tanda menjamin keamanan negara ini.

Beliau turut menambah bahawa media cetak masih memainkan peranan yang penting dalam penyebaran setiap maklumat.

“Dalam kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, ia mendapati bahawa surat khabar masih memainkan peranan yang penting lebih-lebih lagi apabila integritinya dikekalkan.

“Ini membuktikan bahawa sesiapa yang menyatakan peranan surat khabar semakin kurang adalah tidak tepat sama sekali,” katanya.

Turut hadir dalam perasmian Hawana 2023 ialah Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi.

Dalam pada itu, Anwar turut melancarkan Tabung Kasih HAWANA sebagai inisiatif dalam memberikan bantuan kepada pengalam media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM1 juta.

Tiga wartawan veteran di Perak terdiri daripada bekas pemberita bebas, Ou Kok Meng; pemberita sambilan akhbar Tamil Malar, V Maniam; dan Editor portal berita Independent.my, Haron Shafei adalah penerima sumbangan daripada tabung bantuan tersebut. – HARAKAHDAILY 29/5/2023

- Advertisement -