Kalah teruk PRN, Umno akan tinggalkan K’jaan Madani

- Advertisement -

DISANGKAKAN angka 126 rekaan pihak PN untuk tujuan menggemparkan sahaja kerajaan nikah mutaah antara PH-BN, rupa-rupanya berita khabar angin pertukaran kerajaan benar-benar akan berlaku pada bulan Ogos ini selepas keputusan PRN pada bulan Julai nanti.

Rancangan rahsia atau satu langkah baru yang kononnya akan dibuat oleh pihak PN rupa-rupanya memanglah hanya satu rekaan imaginasi sahaja oleh pihak Perdana Menteri ke-10 (PMX) dan barisan kerajaan madani. Namun sebaliknya rancangan yang sebenar telah diatur secara senyap-senyap di pihak BN yang akan meninggalkan kerajaan madani.

Kerana itulah pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim pecah peluh dan gelabah mohon tali hayat kepada Tan Sri Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang (TGHH) untuk PAS sama-sama menyertai kerajaan madani. Malah DAP juga sedia melutut kepada PAS untuk menawarkan perdamaian.

Menariknya adalah dikatakan pihak Anwar ingin menawarkan kepada TGHH jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sekiranya PAS bersetuju bergabung dalam kerajaan madani. Namun adakah Anwar bersedia melantik tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana pada masa ini terdapat dua Timbalan Perdana Menteri. Ataupun PMX mungkin berkira-kira untuk memecat mana-mana TPM yang sedia ada untuk digantikan dengan TGHH.

Namun pendedahan paling berani daripada pihak Umno ialah melalui Lokman Adam yang terkenal dengan penyampaian berita-berita sulit demi mendapatkan perhatian dan populariti. Dia telah menyatakan bahawa pertukaran kerajaan sememangnya akan berlaku selepas PRN nanti.

Lokman Adam menyatakan semasa dalam sesi TikToknya pertukaran kerajaan akan berlaku sekiranya Umno kalah teruk di 4 negeri iaitu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor. Kekalahan teruk Umno dan PH di 4 negeri ini akan menyebabkan Presiden Umno iaitu Dato Seri Zahid akan diserang dan dipersalahkan oleh pihak rakan gabungan kerajaan madani terutama daripada DAP yang lama menyimpan rasa benci kepada Umno.

Kekalahan ini juga menyebabkan ahli dan pemimpin-pemimpin Umno akan menangguk di air keruh untuk saling menjadi hero mengetuai pasukan membawa Umno keluar daripada gabungan kerajaan madani. Pada ketika ini semangat penyokong dan ahli Umno meluap-luap untuk keluar daripada gabungan kerajaan madani.

Kelemahan kerajaan madani dalam menangani masalah ekonomi yang semakin meruncing, kelemahan mempertahankan maruah agama Islam, lemah mempertahankan maruah bangsa serta melampau melayani kehendak bangsa bukan-Melayu telah mencalarkan maruah dan jati diri Umno dalam kerajaan madani. Ini menyebabkan seluruh akar umbi dan penyokong Umno bertekad akan mensabotaj PRN pada Julai ini sama ada tidak keluar mengundi atau tekad memilih menyokong PN.

Kekalahan teruk Umno dalam PRN akan difahami oleh pihak pemimpin Umno sebagai kehendak rakyat menolak kerajaan madani yang gagal sekali gus memberi alasan untuk Umno menuruti kehendak penyokong meninggalkan kerajaan madani.

Menurut Lokman Adam pemberontakan dalaman Umno akan diketuai sendiri oleh Dato Seri Mohamad Hasan. Oleh itu tindakan drastik yang akan dilakukan oleh Anwar ialah membelakangkan Zahid untuk melantik Mohamad sebagai TPM yang baru selepas PRN bagi memastikan Umno terus kekal dalam kerajaan madani serta jawatan lebih kanan dan strategik seperti Menteri Kewangan kepada pemimpin tertinggi Umno.

Namun Mohamad Hasan dikatakan akan menarik sokongan kepada kerajaan madani malah akan mengumpulkan SD daripada seluruh ahli-ahli Parlimen Umno untuk menyokong beliau sebagai Perdana Menteri yang baru. Adalah dikatakan pemimpin tertinggi Umno secara sulit telah berjaya mendapatkan sokongan pihak PN dan GPS untuk membentuk kerajaan baru selepas PRN nanti.

Menurut sumber lain, calon Perdana Menteri selain Mohamad Hasan ialah Dato Seri Ismail Sabri dan juga Dato Seri Hishamuddin. Mereka saling berlumba-lumba mendapatkan sokongan pemimpin-pemimpin Umno yang lain termasuk berjanji untuk membawa masuk Khairy Jamaludin kembali ke dalam Umno selepas PRN nanti. Ini antara sebab Khairy Jamaluddin (KJ) tidak akan menyahut pelawaan TS Muhyiddin Yassin menyertai BERSATU dalam PRN nanti.

KJ juga akan ditawarkan jawatan Senator untuk membolehkannya dilantik sebagai Menteri dalam kerajaan baru selepas PRN nanti.

Dengan tiga calon Perdana Menteri ke-11 daripada Umno akan menyebabkan kecelaruan dan kekalutan dalam parti Umno. Pemimpin yang paling berani, tegas dan tekad akan mendapat sokongan terbanyak pemimpin tertinggi Umno. Sehingga setakat ini dikatakan ketiga-tiga calon Perdana Menteri daripada Umno mempunyai peluang yang sama banyak dengan kelebihan tersendiri.

Oleh kerana itulah tidak mustahil kerajaan akan bertukar pada bulan Ogos nanti atau lebih awal di penghujung Julai selepas PRN nanti.

Setakat ini sasaran paling utama untuk pihak PH-BN berusaha untuk memenangi PRN ialah mengalahkan PN di Kedah. Kekalahan PN di Kedah adalah indikator terbaik untuk Anwar terus kekal sebagai PMX melengkapkan sepenggal sebelum PRU16. Kerana itulah pihak PH melaksanakan perang habis-habisan untuk menjatuhkan Sanusi termasuk membiayai pasukan khas cyber trooper di Kedah. Maka tidaklah menghairankan jika lambakan wang ditabur pelbagai janji untuk apa jua projek di Kedah.

Namun begitu hasrat berapi yang meluap-luap dalam kalangan penyokong Umno tidak mudah dipadamkan. Pada ketika ini hanya pertukaran kerajaan sahaja yang paling diimpikan seluruh ahli dan pemimpin Umno.

Adalah dikatakan langkah keluar meninggalkan kerajaan madani adalah jalan paling terbaik pada masa ini malah mungkin langkah pembetulan paling bersejarah dalam rekod Umno setelah mengambil langkah memalukan parti keramat Melayu untuk bergabung dengan Anwar dan DAP yang melukakan perasan seluruh penyokong tegar Umno.

Maka pilihan terbaik langkah terdekat kepada pihak seluruh penyokong Umno pada ketika ini ialah tidak akan memberikan undi atau sokongan kepada gabungan PH-BN dalam PRN pada Julai nanti agar kekalahan PH-BN akan membuka laluan kepada kerajaan baru yang lebih diyakini rakyat. 

Tidak percaya? Hanya penyokong Umno sejati sahaja ada jawapan tepat. Kalah, masa untuk berubah.

ABU FATEH – HARAKAHDAILY 29/5/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02po27UTDWCwEn4FnEw6wjcLXCjvkPDGUsZ1gr8n6fEYTLxv4Lw8wxpKcjmbmKaQ7Ml&id=100064584887142&mibextid=Nif5oz 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -