Hutang dan mata wang

- Advertisement -

BANK Negara mengatakan, kalau Malaysia berjaya mengurangkan hutang negara, nilai RM akan menjadi lebih kuat dan stabil.

Kenyataan itu dilaporkan berdasarkan kepada hutang negara sekarang ialah kira-kira RM1.5 trilion.

PETRONAS juga digesa untuk meningkatkan pengeluaran minyak sementara harga bahan tersebut masih tinggi sekarang.

Ditambah kesedihan itu dengan kejatuhan nilai RM yang paling rendah setakat ini, tetapi dijawab Pak Menteri, ia membawa keuntungan kepada kita dalam bidang pelancongan. 

Dengan kejatuhan RM, ia akan meningkatkan lagi hutang negara sebab kita kena bayar dengan lebih RM berbanding sebelum ini dengan jumlah hutang yang sama. Nilai berbeza. 

Aku yakin, kerajaan akan melakukan yang terbaik bagi menangani hutang negara, sebab imej mereka juga akan tercalar di sebalik dakwaan Malaysia sedang diterajui oleh bekas Menteri Kewangan terhebat di Asia dahulu. 

Tetapi dalam masa yang sama, tiba-tiba aku teringat kepada Menteri Besar Terengganu yang dalam masa tiga tahun, sudah RM472.78 juta iaitu hampir 70 peratus hutang yang Kerajaan BN dulu buat, diselesaikan dengan pengurusan kewangan yang betul, walaupun dia bukan seorang pakar ekonomi.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar seorang pakar aeroangkasa. Walaupun begitu, beliau tidak sembang sampai terbang dalam bab hutang, biarpun dia pakar dalam bab penerbangan. 

Aku terus berfikir, kalaulah Terengganu ada mempunyai mata wangnya sendiri, semesti mata wang Terengganu antara yang paling kukuh di antara negeri-negeri di Malaysia.

Sama juga seperti dahulu, di Kelantan, almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) telah mengemudi Kelantan dengan jayanya walaupun tanpa kepakaran dalam bidang ekonomi.

Bezakan, apabila orang yang tahu amanah memegang jawatan utama kemudian dituduh sebagai tidak amanah berbanding dengan orang yang sudah dibuktikan pecah amanah, tetapi masih mengaku dia seorang yang amanah.

Padahal sama sahaja kewangan Kerajaan Terengganu yang dahulu menerima wang royalti dengan kerajaan sekarang, walaupun masih ada lagi baki yang tidak diberikan oleh Kerajaan Pusat. 

Lagi rare, bila yang mengaku kata mahu hapuskan kes pecah amanah, mengambil orang yang pecah amanah juga untuk menjaga amanah sambil dia menafikan kejahatan rakannya dan menuduh orang yang amanah itu pula sebagai pemecah amanah… arrhhh pening aku.

Dan kalau Terengganu nak buat mata wang sendiri mestilah namanya Rial untuk duit kertas dan Samah untuk lima puluh sen, macam yang diguna pakai sekarang. 

Aku sekarangpun dah guna Rial kat tempat aku kerja, Qatar dan kat kampung aku Terengganu ni.

MOHD NASIR ABDULLAH
29 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 29/5/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -