Erdogan kekal Presiden Turkiye

Erdogan mengekalkan jawatan Presiden Turkiye dan kekal berkuasa sebagai pemimpin negara itu sehingga 2028. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

ISTANBUL: Recep Tayyip Erdogan memenangi pemilihan semula dan mengekalkan jawatan Presiden Turkiye yang melanjutkan pemerintahannya kepada dekad ketiga, ketika negara itu dilanda inflasi tinggi dan impak gempa bumi dahsyat terutama di bahagian tenggaranya.

- Advertisement -

Penggal ketiga memberikan Erdogan kuasa yang lebih kuat di peringkat domestik dan antarabangsa, dan keputusan pilihan raya kali ini akan mempunyai implikasi jauh di luar Ankara yang menyaksikan Turkiye berdiri di persimpangan Eropah dan Asia, dan ia kelak memainkan peranan penting dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Erdogan sebelum ini melabelkan hubungannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai ‘istimewa’ dan menegaskan dia akan berterusan tidak menyokong akses Sweden kepada NATO.

Menurut Majlis Pilihan Raya Tertinggi Turkiye, dengan hampir semua undi dikira merangkumi 99 peratus peti undi dibuka, Erdogan meraih 52.14 peratus undi pada pusingan kedua pada Ahad (28 Mei), menewaskan pencabarnya, Kemal Kilicdaroglu dengan 47.86 peratus, lapor Al Jazeera.

Ketua lembaga pemilih Turkiye mengesahkan kemenangan itu, dengan mengatakan bahawa walaupun selepas mengambil kira undian cemerlang, keputusan itu adalah bermakna satu lagi penggal untuk Erdogan.

Penyokong Erdogan meraikan kemenangannya di Istanbul, Turkiye pada Ahad, 28 Mei 2023. (FOTO: AP)

Respons pemimpin dunia

Putin dan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban antara yang terawal mengucapkan tahniah kepada Erdogan, bersama-sama dengan pemimpin di Qatar, Venezuela, Azerbaijan, Pakistan, Libya, Algeria, Serbia dan Uzbekistan.

Dalam sepucuk surat kepada Erdogan yang meraikan kemenangan tipisnya pada Ahad itu, Putin yang melabelkan pemimpin Turkiye itu sebagai ‘Sahabat Yang Dihormati’ memuji usaha Erdogan dalam mengukuhkan hubungan Rusia-Turkiye.

“Dari lubuk hati saya yang paling dalam, saya ucapkan kejayaan baharu buat anda (Erdogan) dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin Turkiye, di samping agar dikurniakan kesihatan yang baik dan kesejahteraan,” ujarnya.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden turut mengucapkan tahniah kepada Erdogan melalui tweet bahawa dia berharap untuk bekerjasama sebagai sekutu NATO dalam isu dua hala dan berkongsi cabaran global.

Erdogan (tengah); Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg (tiga dari kiri); Presiden Finland, Sauli Niinisto (lima dari kiri), Perdana Menteri Sweden, Magdalena Andersson (enam dari kiri) dan pegawai-pegawai lain menghadiri majlis menandatangani perjanjian memorandum (Mou) mengenai bidaan NATO negara-negara Nordik di Madrid, Sepanyol pada 28 Jun 2022. (FOTO: CNN)

Tidak ketinggalan Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson turut mengucapkan tahniah kepada Erdogan atas kemenangannya.

“Keselamatan bersama kami adalah keutamaan masa depan,” katanya melalui tweet.

Dalam satu kenyataan di Twitternya, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut mengucapkan tahniah kepada Erdogan atas kemenangannya itu.

“Kami mengharapkan pengukuhan lagi perkongsian strategik untuk manfaat negara kami, serta pengukuhan kerjasama untuk keselamatan dan kestabilan Eropah,” kata Zelensky.

Komen pertama Erdogan

Dalam komen pertamanya sejak pilihan raya ditutup, Erdogan berterima kasih kepada negara kerana memberi kepercayaan terhadap beliau sebagai presiden selama lima tahun akan datang ini.

“Kami berharap dapat menerima kepercayaan anda, seperti yang telah kami lakukan selama 21 tahun,” katanya kepada penyokongnya dalam bas kempen di luar kediamannya di Istanbul.

Sebahagian penyokong tegar Erdogan bersorak keriangan susulan kemenangannya dalam mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Turkiye. (FOTO: REUTERS)

Erdogan dalam ucapannya di Istanbul lewat Ahad berkata, 85 juta rakyat Turkiye adalah pemenang dalam pilihan raya negara itu.

“Satu-satunya pemenang hari ini ialah Turkiye,” ulas Erdogan mengenai kemenangannya dan berjanji untuk bekerja keras bagi abad kedua Turkiye sambil menambah tiada sebarang pihak boleh memandang rendah terhadap negara itu.

Terdahulu, Kilicdaroglu berkempen mengenai janji untuk menterbalikkan kemunduran demokrasi Erdogan, berikrar memulihkan ekonomi Turkiye dengan kembali kepada dasar yang lebih konvensional, dan untuk memperbaiki hubungan dengan Barat. 

Beliau berkata pilihan raya 2023 itu adalah ‘yang paling tidak adil’, dengan semua sumber negara digerakkan untuk Erdogan.

“Kami akan terus berada di barisan hadapan perjuangan ini sehingga demokrasi sebenar datang ke negara kita,” katanya di Ankara sambil berterima kasih kepada lebih 25 juta orang yang mengundinya dan meminta mereka ‘kekal dengan pendirian’,” tegasnya.

Dalam pada itu, penyokong Erdogan telah mengibarkan bendera Turkiye dan membunyikan hon kereta sambil melaungkan namanya; dengan melakukan tembakan perayaan kedengaran di beberapa kawasan kejiranan Istanbul.

Erdogan melambai kepada kumpulan penyokongnya selepas diumumkan berjaya mengekalkan kedudukannya dalam pemilihan Presiden Turkiye di Istanbul pada 28 Mei 2023. (FOTO: CNN)

Berkuasa sehingga 2028

Sehubungan itu, Erdogan, seorang Muslim berusia 69 tahun, akan kekal berkuasa sebagai pemimpin Turkiye sehingga 2028.

Beliau mengubah jawatan presiden daripada peranan yang sebahagian besarnya bersifat istiadat kepada jawatan berkuasa melalui referendum 2017 yang dimenangi tipis, yang membatalkan sistem tadbir urus parlimen Turkiye. 

Erdogan juga adalah presiden pertama yang dipilih secara langsung pada 2014, dan memenangi pilihan raya 2018 yang membawa kepada jawatan presiden eksekutif.

Separuh pertama tempoh Erdogan termasuk pembaharuan yang membolehkan negara itu memulakan perbincangan untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU), dan pertumbuhan ekonomi yang mengeluarkan ramai rakyatnya daripada kancah kemiskinan. 

Sebagai saingan terkuat Erdogan kali ini, Kilicdaroglu pula ialah bekas penjawat awam yang telah memimpin Parti Rakyat Republikan (CHP) yang pro-sekular sejak 2010.

Terdahulu, Turkiye melaksanakan pilihan raya penentu pada Ahad itu bagi memilih presiden selepas tiada calon yang memperoleh lebih 50 peratus undi dalam pemilihan pusingan pertama, meskipun Erdogan mendahului dengan 49.52 peratus.

Sebelum itu, parti Perikatan Rakyat Erdogan atau People’s Alliance pimpinan Erdogan dan sekutunya mengekalkan majoriti kerusi di parlimen berikutan pilihan raya perundangan yang turut diadakan pada 14 Mei 2023. – HARAKAHDAILY 29/5/2023

- Advertisement -