ALOR SETAR: “Sila kemukakan bukti. Dia tuduh jadi dia kena buktikan, beban bukti terletak kepada orang yang tuduh. Sila buktikan,” kata Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata, tuduhan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya PERIKATAN NASIONAL (PN) menerima dana syarikat judi membantu kempen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bertujuan untuk menimbulkan persepsi buruk.
Kata beliau sekiranya Presiden PKR terbabit masih bertegas dengan dakwaannya, beliau perlu kemukakan bukti berhubung dakwaan itu dengan segera.
“Tapi Perdana Menteri tak boleh siasat sendiri, hanya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) boleh buka fail,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri (JKTN) di Wisma Negeri di sini, semalam.
Media sebelum ini melaporkan Anwar membayangkan kemungkinan PN mendapat dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.
Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Dato’ Seri Azalina Othman Said pada jawapan di Dewan Rakyat minggu lepas memberitahu hasil siasatan SPRM mendapati tiada bukti mensabitkan dakwaan berkenaan.
Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PAS mempunyai dana hasil sumbangan dan derma ahli-ahlinya sejak dahulu sehingga sekarang.
Malah katanya negeri-negeri yang ditadbir PN iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu sudah lama tidak mengeluarkan lesen premis judi.
“Adalah tidak munasabah tauke-tauke atau pengusaha judi memberi derma membantu kemenangan PN. Nak buat aktiviti judi tak boleh, pergilah tanya di negeri yang menghalalkan judi,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 29/5/2023