SEMUA sudah sedia maklum bahawa Jurusalem merupakan salah satu kota yang tertua di dunia. Jerusalem, sebuah bandar suci yang sarat dengan sejarah dan pentingnya bagi tiga agama besar dunia, Yahudi, Kristian, dan Islam. Ia terus menjadi episentrum konflik yang kompleks dan menegangkan.
Ketegangan antara Israel dan Palestin, terutamanya di sekitar kawasan yang disebut Haram al-Sharif (atau Baitulmaqdis dalam agama Islam dan Kuil Gunung dalam agama Yahudi), sering kali memicu ketidakstabilan di rantau tersebut.
Namun, selama beberapa dekad, Jerusalem telah menjadi saksi kepada konflik politik yang terus berpanjangan antara Israel dan Palestin. Dalam usaha untuk mencari jalan keluar dari konflik yang berpanjangan ini, komuniti antarabangsa perlu memainkan peranan yang penting.
Dalam situasi terkini, ketegangan di Jerusalem telah meningkat setelah keputusan Israel untuk menghalang akses umat Islam ke Masjid Al-Aqsa selama bulan Ramadan tahun lalu. Konflik juga bertambah teruk apabila Israel merampas rumah-rumah Palestin di kawasan Sheikh Jarrah di Jerusalem Timur untuk memberikan tempat tinggal kepada pendatang Yahudi.
Baru-baru ini pada 17 Mei 2023, tentera Israel juga telah menyerang umat Islam di Palestin sempena Hari Jerusalem. Hari Jerusalem adalah hari cuti am Israel bagi memperingati penyatuan semula Jerusalem dan penubuhan kawalan Israel ke atas Kota Lama Baitulmuqaddis, selepas peristiwa Perang Enam Hari Arab Israel pada 1967.
Di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak ini, komuniti antarabangsa perlu bertanggungjawab memainkan peranan yang penting untuk membantu menyelesaikan konflik yang telah lama berlaku ini. Apakah fungsi penubuhan badan kemanusiaan komuniti antarabangsa jika tidak menjalankan tanggungjawab untuk mencapai keamanan antara Palestin dan Israel. Sebagai komuniti antarabangsa, mereka mestilah mewujudkan langkah-langkah yang dapat mengakhiri konflik tersebut.
Antara salah satu peranan penting yang dapat dimainkan oleh komuniti antarabangsa adalah memastikan keamanan dan keselamatan rakyat Palestin. Terdapat pelbagai organisasi antarabangsa yang telah berusaha untuk membantu rakyat Palestin dengan memberikan bantuan kemanusiaan dan sokongan politik. Ini termasuk badan- badan PBB seperti UNRWA dan UNICEF, dan NGO seperti Amnesty International dan Human Rights Watch.
Komuniti antarabangsa juga dapat membantu mengatasi kegagalan dalam usaha perdamaian yang telah diusahakan selama bertahun-tahun. Usaha ini termasuk Rencana Perdamaian Trump yang menganggap Jerusalem sebagai ibu negara Israel, yang telah menambahkan ketegangan di kawasan itu. Kata-kata seperti ini tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang pemimpin USA. Dalam situasi ini, komuniti antarabangsa dapat memainkan peranan untuk mempercepat dan memfasilitasi usaha perdamaian yang realistik dan inklusif.
Penting juga untuk diakui bahawa konflik di Jerusalem tidak hanya melibatkan Israel dan Palestin, malahan melibatkan kepentingan global. Oleh itu, peranan komuniti antarabangsa haruslah untuk memberikan sokongan kepada kedua-dua pihak, dan memastikan kawasan tersebut menjadi tempat aman dan sejahtera untuk semua.
Dalam melaksanakan peranannya, komuniti antarabangsa harus memahami bahawa konflik di Jerusalem bukan hanya tentang wilayah atau agama, tetapi juga melibatkan keadilan dan hak asasi manusia. Penyelesaian konflik di Jerusalem harus mencari penyelesaian yang adil dan inklusif, di mana semua pihak merasa dihargai dan didengar.
Tambahan pula, peranan utama komuniti antarabangsa adalah sebagai orang tengah dalam rundingan antara Israel dan Palestin. Melalui usaha diplomatik, negara-negara dan komuniti antarabangsa boleh memudahkan dialog antara kedua pihak untuk mencapai persetujuan. Pengantaraan yang berkesan memerlukan kehadiran pihak ketiga yang neutral.
Hal ini mampu mencapai kata putus dan aspirasi kedua-dua pihak secara adil. Komuniti antarabangsa boleh memberikan bantuan yang diperlukan untuk memastikan proses rundingan berjalan secara lancar dan berjaya.
Selain itu, komuniti antarabangsa juga dapat memberikan sokongan dari segi kewangan untuk membangunkan institusi dan infrastruktur yang kuat di Jerusalem. Pembangunan sosial dan ekonomi yang berkelanjutan di kota ini berperanan penting dalam menciptakan kestabilan dalam jangka masa panjang.
Pelaburan dalam aspek pendidikan, kesihatan, dan pengembangan ekonomi tempatan dapat membantu memperbaik pulih keadaan hidup penduduk Baitulmuqaddis dan mewujudkan peluang yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Akhir kata, keadaan terkini di Jerusalem adalah situasi yang memerlukan perhatian dan tindakan segera dari komuniti antarabangsa. Peranan mereka dalam membantu menyelesaikan konflik ini adalah penting serta harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan adil. Ini bukan soal muslim ataupun tidak, ini soal kemanusiaan.
Jadi, semua manusia perlu berganding bahu bekerjasama menentang Israel dan menganugerahkan keamanan kepada penduduk Palestin. Sampai bila kita mahu lihat saudara kita hidup terseksa dan diganggu di tanah air mereka sendiri. Oleh itu, kita mestilah sentiasa berdoa agar penduduk di Palestin dapat mencapai keamanan suatu hari nanti. – HARAKAHDAILY 29/5/2023