Pengalaman Dato’ Amar dalam pemerintahan Kelantan

MALAM tadi saya turut menghadiri majlis perasmian Konvensyen Pendemokrasian Cendekiawan dan Umarak Teknokrat Terengganu di Darul Iman Training Centre (DITC), Teluk Kalong, Kemaman. Ucapan khas oleh Dato’ MohdAmar, Timbalan Menteri Besar Kelantan. Banyak perkara yang dikongsi. ‘Ralit’ juga mendengarnya. Saya hanya sempat mencatat beberapa isi penting celoteh bermaklumat Dato’ Amar. Sangat bagus kalau dapat dengar keseluruhan ucapan tersebut.

Advertisement

Cabaran setelah jadi kerajaan lebih berat dari sebelum jadi kerajaan. Bila jadi kerajaan, kita diikat oleh janji yang kita buat. Rakyat yang mengundi mengharapkan sesuatu. Janji terlalu banyak akan menjadi bebanan. Berjanjilah apa yang boleh dibuat.

Menang kalah dalam pilihan raya ada sebabnya. Post mortem pilihan raya beri jawapan kenapa menang atau kalah. Bila kita tahu sebab menang, kita mesti berpegang dengan sebab menang supaya kita terus menang dan dipilih oleh rakyat.

Orang Melayu ada psikologi tersendiri, mesti dekati cara dan budaya orang Melayu. Orientalis Barat kaji mengenai orang Timur. Dari kajian, mereka tahu sifat orang Melayu dan lain-lain. Sebab itu Barat menjajah tanah Melayu dengan cara halus kerana mereka faham budaya orang Melayu. Politik British tidak sama dengan politik Jepun. Politik British seperti skru. Mereka memulas sedikit demi sedikit, akhirnya ketat dan kemas. Politik Jepun seperti baji. Kuat ketuk. Jepun tidak memahami dengan mendalam budaya Melayu.

Perlu fahami citarasa, cara orang Melayu. Kenapa Umno kalah? Umno banyak tabur kebendaan kepada rakyat, tetapi hati manusia tidak boleh dipegang dengan benda. Hati manusia tidak dapat dijinakkan hanya dengan perkara material.

Dalam sirah, Nabi SAW tiada manifesto. Tiada janji pembangunan fizikal dengan manusia. Namun 300 tahun awal Islam ialah tahun yang terbaik. Nabi bangunkan tamadun Islam, peradaban manusia yang terbaik walaupun ketinggalan dalam bentuk fizikal.

Kelantan dibina dengan aqidah selama 30 tahun. Apabila ia sudah mantap, sekarang sudah baik, rakyat mahu lihat pembangunan fizikal pula, bertanya tentang ‘bread and butter’.

Anak muda ada idealisme. Mereka mahukan pemimpin dan kerajaan bersih. Kenapa orang sokong kita dalam pilihan raya? Ada sebab. Kena jaga sebab itu.

Fahami sifat orang Melayu. Biasakan mendengar masalah mereka. ‘Lend me your ears.’ Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah tetapi mendengar pun sudah cukup baik.

Nabi SAW disayangi kerana sifat rendah diri. Kisah perempuan tua makan dengan Nabi SAW. Yang penting ialah aspek layanan.

Dasar PAS ialah Islam. Dasar pentadbiran Kelantan ialah Islam. Begitu juga Terengganu. Orang Arab datang dari tanah Arab terutama Yaman bawa Islam. Asalnya berniaga. Orang Melayu asalnya beragama Hindu. Mereka melihat kebaikan sifat dan akhlak pedagang Arab.

Syed Naquib al-Attas berkata: Bangsa Melayu menemukan dirinya dengan terima Islam.

Ada binaan candi borobudur dan lain-lain. Seni ini tinggi tapi nilai aqidah, akhlaknya runtuh. Orang Melayu masuk Islam dan mendalami agama. Orang Melayu walaupun tidak hebat dari sudut lain tapi hebat dari sudut kitab kuning yang membincangkan perkara aqidah sebagai prinsip, harta pusaka melibatkan matematik, fiqh yang merupakan undang-undang pentadbiran.

Terengganu ini disebut Darul Iman – perlu kaji perkembangan ilmu. Fahami sejarah. Melayu naik kerana Islam. Jadi hebat, termasuk di zaman Usmaniyah Turki yang menghantar bantuan ketenteraan ke Nusantara.

60 tahun di bawah Umno dengan ideologi asing dari Islam. Mereka kalah. Bagaimana nak terjemah idealisme Islam dalam bentuk politik? Pemerintahan ibarat bina rumah. Tuan rumah mahukan rumah sekian-sekian. Mesti ada pelan rumah. Ada tukang. Perlu ramai tenaga. Demikianlah sebuah kerajaan. Tema Kelantan: Membangun Bersama Islam. Terengganu: Maju, Berkat, Sejahtera. Perlu kerjasama semua pihak dalam pentadbiran.

Catatan ringkas:
USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
DITC
Sabtu 27 Mei 2023 (10 malam) – HARAKAHDAILY 28/5/2023