Dekat PRN, Umno tiba-tiba mahu jaga agama

- Advertisement -

UNTUK pengetahuan semua, Umno Terengganu sudah lama ketandusan ulamak semenjak 2013 lagi, untuk diketengahkan apabila portfolio agama diberi amanah kepada Ghazali Taib, waktu itu ADUN Ajil yang bukan berkelulusan agama sebagai portfolio tugas-tugas khas, bukan Exco Agama secara khusus.

Kali terakhir Umno Terengganu ada Exco Agama yang berkelayakan pengajian agama ialah pada tahun 2008-2013 iaitu ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat. Tetapi pada tahun itu ialah tahun perbalahan antara Ahmad Said dan Idris Jusoh kerana istana menolak Idris sebagai Menteri Besar.

Semua ADUN Umno menolak, kecuali Ahmad Said menerima tawaran istana untuk menggantikan Idris. Kata Ahmad Said, dalam mempertahankan tindakan beliau waktu itu adalah bagi menyelamatkan Terengganu daripada dibuat PRN semula. Ahmad menjadi hero Umno dengan menjadi Menteri Besar. 

Ketika mahu melantik Exco bagi kerajaan barunya, Ahmad sekali lagi menghadapi masalah sebab semua ADUN itu adalah orang Idris. Tetapi disebabkan Istana yang memilih Ahmad, maka ADUN lain terpaksa menerima lantikan Exco dari Ahmad. Dan Khazan adalah salah seorang darinya. 

Dendam amarah sesama mereka tidak padam, sehingga tercetus SMS ugutan bunuh oleh orang kuat Idris, bekas Pegawai Khas Menteri Besar dan juga calon BN Marang tahun 2008, Dr Ahmad Ramzi Dato’ Muhammad Zubir. Dr Ramzi akhirnya dipenjarakan kerana mengugut Dato’ Wan Ahmad, pegawai kanan kepada Ahmad Said. Dr Ramzi juga berpendidikan agama. 

Masuk tahun 2013, Ahmad Said yang menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, telah menyah keluarkan semua orang Idris, termasuk Khazan dan menggantikannya dengan Bazlan Abd. Rahman sebagai calon Batu Rakit dan menang. Ada juga laporan mengatakan Khazan dibuang kerana gagal hadir dalam majlis bersama kepimpinan Umno Pusat di Terengganu. Entahlah mana satu yang betul. 

Dengan harapan kepada Ramli Haji Nuh bekas ADUN Tepoh dan juga Mantan khadi yang berkelulusan Pengajian Islam serta pernah mewakili pasukan debat UKM, berkemungkinan menang sebagai calon Umno di Tepoh. Seingat saya, semua calon Umno Terengganu masa itu, tiada kelulusan agama, dari N01, Kuala Besut sampailah ke N32, Air Putih. Hanya Ramli. Dan beliau berkemungkinan akan menjadi Exco Agama jika menang. 

Namun hasrat Umno Terengganu terbantut apabila muncul wira muda, calon PAS yang bijak, kacak dan bergaya, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, berkelulusan Darul Quran Rusila, menyambung pengajiannya di Mesir dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Agama Petronas yang menggantikan mantan Exco Ustaz Abu Bakar Abdullah di Tepoh, mengalahkan Ramli hanya dengan 229 majoriti sahaja. 

Ahmad kemudiannya terkial-kial mencari Exco bagi portfolio agama. Apatah lagi ketika 2013 itu PAS menang 14 kerusi, PKR satu dan Umno 17. Kelebihan hanya dua kerusi. Sedangkan beliau sudah kehabisan ADUN berkelulusan agama. Maka Ghazali Taib dipilih. Sampailah habis tempoh pemerintahan Ahmad, diganti secara paksa dengan Razif oleh Datuk Seri Najib, Ghazali masih memegang portfolio tersebut. 

Walaupun Ghazali pernah pada suatu ketika telah bergerak bersama Ahmad Said dan seorang lagi Exco dari Bukit Besi, Rosli Daud, rakan Ahmad, tekad merancang untuk keluar Umno. Sekali gus bakal menjatuhkan Kerajaan Umno pimpinan Razif itu setelah Ahmad Said diturunkan pangkat waktu itu. Menunjukkan setia kawan dan persaudaraan beliau kepada Ahmad. 

Dan apabila tahun 2018, alhamdulillah, PAS menang PRU dan merampas Terengganu. Calon PAS bagi negeri, yang berpendidikan agama ada seramai 17 orang. Melebihi separuh keseluruhan 32 calon.

Tidak terhenti di situ, PAS telah melantik dua orang Exco yang portfolio mereka berkaitan dengan agama, YB Dato’ Ustaz Satiful Bahari Mamat untuk Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi. Seorang lagi YB Ustaz Mohd Nor Hamzah sebagai Exco Pembinaan Insan, Dakwah Dan Penerangan Negeri.

Begitu PAS bersungguh mahu menjaga agama dan juga PAS ada ramai calon yang berwibawa dalam menjaga hal agama di Terengganu. Dan sudah banyak perkara mengenai agama yang PAS telah laksanakan termasuklah menyebat pesalah lesbian suatu ketika dahulu.

Kini Umno muncul semula, dekat dengan PRN. Mereka tiba-tiba prihatin terhadap agama. Ada yang dijemput menjadi perasmi mesyuarat Imam Dan Bilal di daerah-daerah. Antaranya ialah Nik Dir Nik Wan Ku. Beliau sudah beberapa kali sebelum ini dikesan merasmikan mesyuarat di sekolah di sekitar Marang. 

Kita agak hairan kenapa orang-orang seperti ini dijemput merasmikan mesyuarat imam dan bilal. Sejarah yang kita maklum, kalau Nik Dir berucap, akan ke politiklah lajaknya. Dalam hal ini saya teringat kepada Haji Wahab P.A DUN Rhu Rendang yang jika beliau berkebetulan ada dalam majlis, sentiasa akan duduk mendengar apabila Nik Dir berucap, yang buatkan Nik Dir serba salah.

Saya rasa ada lebih baik Persatuan Imam Dan Bilal menjemput mufti atau timbalan mufti. Atau boleh juga pegawai dari Pejabat Agama untuk merasmikan mesyuarat mereka. Paling kurang boleh kutip pengajaran agama, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai imam dan bilal. Bukan dari orang yang kita tahu tidak kukuh kefahaman agamanya.

Tidak kisah jika bukan ustaz PAS sekalipun yang dijemput, bukan isunya. Kerajaan Negeri juga tidak akan mengambil apa-apa tindakan pun atas jemputan ini. Tetapi menjatuhkan maruah persatuan bila menjemput orang yang boleh kita kata bukan dalam bidangnya. Apa tujuannya yang sebenar?

Benar sekali kata Exco Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, kita jangan heret imam dan bilal ke kancah politik. 

MOHD NASIR ABDULLAH
27 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 27/5/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -