Hoki Piala Remaja Asia: Malaysia atasi Korea Selatan

Pemain Malaysia girang membolosi gawang Korea Selatan.
- Advertisement -

Pasukan remaja lelaki Malaysia memastikan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas menundukkan Korea Selatan, 3-1 di Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman.

- Advertisement -

Kemenangan ini juga sekali gus mengesahkan tempat Malaysia di separuh akhir.

Tiga gol Malaysia dihasilkan menerusi pukulan sudut penalti bermula dengan penyudahan Perabu Tangaraja pada minit ke-11, diikuti jaringan minit ke-54 oleh Shahmie Irfan Suhaimi yang sekali lagi dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan. Gol ketiga pada pada minit ke-57 oleh Mughni Mohamad Kamal.

Aksi hari ini menyaksikan Malaysia memastikan kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-11 digunakan sebaiknya selepas Perabu Tangaraja melakukan satu flik terus yang berjaya menewaskan penjaga gol Korea Selatan, Kim Seyeon.

Suku kedua dan ketiga perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan untuk menjaringkan gol, tetapi percubaan yang dimiliki termasuk kelebihan pukulan sudut penalti, buntu untuk disudahkan.

Memasuki suku terakhir, Malaysia akhirnya menggandakan jaringan pada minit ke-54 hasil satu flik bawah ke sudut sebelah kanan pintu gol Korea Selatan oleh Shahmie Irfan Suhaimi. Lawan yang berusaha untuk merapatkan kembali kedudukan, berjaya mencuri satu gol padang dua minit kemudian melalui Park Geonwoo.

Bagaimanapun, seminit selepas itu, Malaysia yang dihadiahkan dengan satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti memastikan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada gol selepas Mughni Mohamad Kamal menyambung hantaran leret yang dilakukan oleh Muhammad Faris Harizan bagi menyudahkan set-piece yang dirancang dan sekali gus menutup perlawanan hari ini dengan kemenangan 3-1 milik Malaysia.

Shahmie Irfan Suhaimi dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. – Foto Persekutuan Hoki Malaysia

Sementara itu, Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim, memuji kesungguhan dan usaha keras pemain-pemainnya yang tidak menghiraukan faktor cuaca atau keletihan, tetap mampu memberikan aksi terbaik serta meraih tiga kemenangan berturut-turut.

“Untuk perlawanan hari ini dari segi pukulan sudut penalti, kita boleh lihat penyudahan yang baik apabila kami meraih lima pukulan sudut penalti dan menjaringkan tiga daripadanya di mana ia satu petanda positif buat pasukan.

“Kami juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol padang, tetapi penyudahan yang agak kurang baik barisan serangan. Namun, kami menggunakan kelebihan pukulan sudut penalti dengan sebaiknya untuk mendapatkan gol.

“Pelawanan terakhir bertemu Oman, bagi saya apa yang lebih penting adalah konsentrasi pemain dan mereka perlu turun dengan pemikiran yang betul, iaitu untuk mencari kemenangan seterusnya bagi peringkat kumpulan.

“Dengan kemenangan berturut-turut, ia sedikit sebanyak menambah keyakinan pemain. Bagaimana percaturan yang akan kami lakukan untuk pertemuan dengan Oman, kami akan membuat analisis video untuk mengenal pasti kelebihan dan kelemahan pasukan.

“Kami telah layak ke separuh akhir dan masih menanti siapa lawan antara India atau Pakistan yang mempunyai kekuatan tersendiri. Apa yang penting adalah kekal fokus untuk pertemuan dengan Oman terlebih dahulu. Selepas itu, baru kami akan memikirkan percaturan untuk aksi separuh akhir,” katanya.

Malaysia akan turun untuk pertemuan terakhir pusingan Pool B bertemu tuan rumah, Oman pada Selasa (30 Mei) jam 1 pagi waktu Malaysia. Perlawanan tersebut boleh ditonton secara langsung menerusi pengstreman langsung di aplikasi watch.hockey. – Persekutuan Hoki Malaysia

- Advertisement -