Senarai nama PPP ditamat kontrak diserah pada PM

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senarai nama Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang telah dan bakal ditamatkan kontrak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, penyerahan senarai tersebut dibuat melalui Setiausaha Politik Anwar, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin di bangunan Parlimen, di sini, semalam.

- Advertisement -

Menurutnya, senarai nama melibatkan lebih 600 orang PPP tersebut disediakan pihaknya  berdasarkan kepada pendedahan beliau dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 4 April lepas berkaitan isu berkenaan.

Dalam sidang Dewan Rakyat tersebut, Anwar melalui  jawapan kepada isu yang dibangkitkan itu telah meminta agar beliau menyediakan senarai nama mereka yang terlibat untuk tindakan kerajaan.

“Jadi, kita berharap dengan penyerahan senarai ini Perdana Menteri dapat menunaikan janji beliau menyelesaikan isu berkaitan dengan Penolong Pegawai Perubatan kontrak ini. Kita berharap kerajaan dapat meninjau kembali dan mengambil kembali mereka.

“Ini sesuai dengan kenyataan akhbar yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kesihatan pada 10 Mac lalu bahawa negara memerlukan seramai 44,804 orang PPP menjelang 2025 sedangkan pada masa ini kita hanya mempunyai seramai 23m329 orang sahaja. Jadi, kita perlu lagi 20945 orang.

“Jadi, kalau sasaran  pada tahun 2025 kita nak mencapai 44,804 orang PPP ini, mengapa harus yang ada kontrak sekarang kita berhentikan? Sepatutnya mereka diserap ke dalam jawatan-jawatan tetap yang ada bagi memenuhi keperluan,” katanya kepada HarakahDaily.

Beliau menegaskan, mereka yang ditamatkan perkhidmatan tersebut diambil secara kontrak ketika pandemik Covid-19 dan telah diletakkan sebagai barisan hadapan yang berkorban dalam menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.

Berdasarkan maklumat yang diterima beliau sehingga Februari 2023, daripada seramai 904 orang PPP daripada kolej swasta yang terlibat dalam lantikan tersebut, 99 orang telah ditamatkan perkhidmatan dan 805 lagi akan ditamatkan secara berperingkat dalam tahun ini.

“Kita tak nafikan sesuai dengan kontrak mereka, tetapi bila Covid-19 dah reda mereka dibuang. Mereka ini sebenarnya wira-wira negara yang sepatutnya diberikan perhatian untuk diserap ke dalam sebagai kakitangan tetap dalam Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2023

- Advertisement -