PAS Kelantan lancar ‘PPAKAT PERTAHAN’ hadapi PRN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 yang dijangka diadakan pada Ogos hadapan makin terasa. PAS paling awal melancar jentera pilihan raya yang bermula di Tumpat baru-baru ini.

- Advertisement -

Dan malam tadi turut dilancar tema ‘PPAKAT PERTAHAN’ bagi membangkit semangat untuk mempertahankan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan ulama pada PRN15 tidak lama lagi.

Pelancaran itu disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Dato’ Mohd Amar Abdullah sempena program Himpunan Tenaga Penceramah yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK).

Dan ceramah jerayawara (roadshow) PPAKAT PERTAHAN akan bermula di Tumpat malam esok bakal menampilkan Timbalan Presiden Bersatu Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden PAS Dato’ Idris Ahmad, Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat dan ahli parlimen Tumpat Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Mohd Amar berkata, PRN15 dijangka akan diadakan selepas Hari Raya Aidiladha selepas jemaah haji pulang ke tanah air.

Bagaimanapun katanya tidak dapat ditolak PRN boleh diadakan selepas beberapa hari sambutan Hari Raya Korban dan kemungkinan pada hari bekerja.

“Sekiranya PRN diadakan pada hari bekerja ia boleh menyukarkan pengundi yang tinggal jauh balik mengundi kerana mereka sudah kembali ke kampung ketika sambutan Hari Raya.

“Itu hanya kemungkinan yang boleh berlaku, namun kita berharap tarikh PRN diadakan pada hari cuti. Apa pun perkara itu di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya SPR,” katanya pada program tersebut.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Ketua Penerangan Dato’ Mohd Nasuruddin Daud, Timbalan Ketua Penerangan Ahmad Fathan Mahmood, Ketua Pemuda PAS Malaysia Ahmad Fadhli Shaari dan ahli jawatankuasa PAS Pusat Kamaruzaman Mohamad.

Pada program itu turut diadakan bacaan ikrar yang diketuai Ketua Penerangan PAS Pasir Puteh Mohd Rodzi Jaafar.

Ribuan hadir memenuhi dewan besar PUTIK sejak Maghrib yang menggambarkan semangat mereka bagi menghadapi PRN. Turut hadir Dewan Himpunan Pendukung PAS yang diketuai Lim Guan Seng. – HARAKAHDAILY 26/5/2023

- Advertisement -