Manchester United kembali ke Liga Juara-Juara

Pemain Manchester United meraikan jgol pertama jaringan Casemiro.
- Advertisement -

Manchester United akan kembali beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan Chelsea 4-1 untuk memastikan kedudukan empat teratas Liga Perdana.

- Advertisement -

Casemiro, Anthony Martial, Bruno Fernandes (penalti) dan Marcus Rashford, menjaringkan gol untuk United yang hanya memerlukan satu mata dari dua perlawanan terakhir liga untuk menamatkan secara rasmi harapan Liverpool yang semakin pudar mendapatkan tempat dalam saingan kelab utama Eropah.

“Kemenangan ini penting, kelab ini perlu berada dalam Liga Juara-Juara. Namun, kemenangan tidak mudah dalam Liga Perdana kerana saingan yang sengit. Oleh itu, ia adalah persembahan yang hebat apabila anda menyelesaikannya,” kata Pengurus United, Erik ten Hag.

Juara Eropah tiga kali, United yang gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim lalu, berada di tangga ketiga dengan 72 mata berbaki satu perlawanan, enam mata di hadapan Liverpool di tempat kelima.

Newcastle United yang menduduki tempat keempat memperoleh tempat dalam kumpulan elit Eropah selepas keputusan seri tanpa jaringan menentang Leicester City, Isnin lalu. Chelsea yang bergelut sepanjang musim, berada di tangga ke-12 dengan 43 mata.

United yang akan menamatkan musim Liga Perdana, Ahad ini dengan menjadi tuan rumah kepada Fulham di tangga ke-10, memenangi Piala Carabao pada Februari lalu dan menyasarkan untuk melengkapkan dua kejuaraan domestik apabila menentang Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA pada 3 Jun.

“(Musim ini) baik, ia tidak sempurna kerana kami mahukan lebih banyak lagi.

“Namun untuk apa yang kami lakukan musim ini, saya rasa ia hebat. Memenangi satu piala, kami ke empat teratas, itu adalah matlamat kami selepas melihat kami tidak dapat pergi untuk Liga Perdana (gelaran),” kata Fernandes.

“Sekarang ialah menamatkan liga dengan baik, pergi ke Piala FA dan menang.”

Pasukan Ten Hag tidak tewas dalam aksi Liga Perdana di Old Trafford untuk 17 perlawanan.

“Penyokong tahu betapa pentingnya mereka untuk kami. Anda dapat melihat pada musim ini, betapa pentingnya penyokong dalam banyak perlawanan, jadi kami menghargai semua usaha,” kata Fernandes mengenai penyokong United. – REUTERS

- Advertisement -