Ibadah haji simbol Penyatuan Ummah

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T: 

- Advertisement -

 ٱلْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَٰتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ ٱللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا۟ فَإِنَّ خَيْرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقْوَىٰ ۚ وَٱتَّقُونِ يَٰٓأُو۟لِى ٱلْأَلْبَٰبِ.

“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal”.

(al-Baqarah: 197)

Musim haji tiba lagi. Jutaan tetamu Allah S.W.T dari seluruh pelosok dunia mula membanjiri tanah suci. Masing-masing datang menyahut undangan Allah S.W.T untuk bergelar ‘Dhuyuufur Rahman’. Tahniah diucapkan kepada seluruh jemaah haji yang mendapat peluang tersebut.

Antara hikmah daripada ibadah haji selain menyempurnakan Rukun Islam dan membersihkan diri daripada dosa dan noda, ianya adalah simbol kepada perintah Allah S.W.T kepada umat Islam agar mencari titik penyatuan dan membina persefahaman. Ini kerana Penyatuan Ummah adalah asas dalam membina kekuatan.

Sayugialah bagi umat Islam keseluruhannya menjadikan keadaan ini sebagai iktibar di mana persaudaraan dan persahabatan dibina atas dasar keimanan yang suci, bukan kerana berkepentingan lainnya.

Justeru usaha ke arah pengukuhan akidah dan membina persefahaman perlulah sentiasa disuburkan seumpama para jemaah haji yang berhimpun di Padang Arafah, di mana mereka berhimpun atas dasar iman dan pengabdian diri kepada Allah S.W.T tanpa sekelumit matlamat yang tidak menepati kehendak syariat.

PAS Johor mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua tetamu Allah S.W.T pada tahun ini, semoga segala urusan yang berkaitan dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Dikurniakan kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan di dalam pemeliharaan-Nya. Haji Mabrur untuk semua insya-Allah. Sekalung tahniah kepada pihak Lembaga Urusan dan Tabung Haji dan semua pihak yang terlibat di dalam pengurusan para jemaah haji. Semoga dikurniakan sebaik-baik ganjaran di sisi Allah S.W.T.

“Malaysia Sejahtera”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI,
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
5 Zulkaedah 1444
25 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -