Amerika Syarikat tolak permintaan Thailand beli jet F-35

- Advertisement -

BANGKOK: Amerika Syarikat (AS) enggan menjual jet pejuang siluman F-35 kepada Thailand dengan isu latihan dan keperluan teknikal dijadikan alasan.

- Advertisement -

Thailand yang menjadi Sekutu Utama Bukan NATO oleh AS pada 2003, tahun lalu, memperuntukkan sebanyak 13.8 bilion Baht (AS$407.68 juta) untuk menggantikan jet pejuang lama yang kebanyakan buatan AS, F-15 dan F-16.

Tentera Udara Thailand mengenal pasti sehingga lapan jet F-35A Lockheed Martin sebagai sasaran.

Namun, penjualan pesawat pejuang generasi kelima itu tertakluk kepada pelbagai syarat, termasuk kekangan masa, keperluan teknikal dan keserasian penyelenggaraan yang menyebabkan AS tidak dapat menawarkan penjualan itu, kata jurucakap Tentera Udara Thailand, Marshall Prapas Sornchaidee dalam satu kenyataan.

F-35 adalah antara pesawat pejuang tercanggih di dunia dan dianggap sebagai eksport sensitif yang hanya dijual kepada sekutu terdekat AS dan di Asia-Pasifik termasuk Australia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.

Thailand kini mempunyai 12 jet pejuang JAS-39 Gripen buatan Saab dari Sweden sebagai tambahan kepada model buatan AS, kebanyakan beroperasi sejak beberapa dekad lalu.

Tentera Thailand menggunakan teknologi AS sejak Perang Vietnam, apabila negara itu menjadi tuan rumah tentera udara dan tentera laut AS. Sejak bertahun-tahun lalu, Thailand menganjurkan latihan tahunan “Cobra Gold” dengan AS.

Bagaimanapun hubungan mesra itu, tergencat berikutan rampasan kuasa tentera Thailand terhadap kerajaan yang dipilih rakyat pada 2006 dan 2014 dengan kebimbangan bahawa kerajaan yang disokong tentera akan mengalihkan sokongan kepada kuasa saingan, China.

Prapas berkata, tentera udara negara itu tetap akan menggantikan jet F-16 sedia ada dengan AS menawarkan model F-15 dan F-16 yang dinaik taraf yang boleh dihantar dengan lebih pantas. – REUTERS

- Advertisement -