Takiyuddin persoal keseriusan kerajaan laksana fungsi Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai Rang Undang-Undang (RUU) lain untuk dibentangkan dalam tempoh tujuh hari persidangan Dewan Rakyat akan datang kerana ketika ini hanya dua RUU dalam aturan mesyuarat.

- Advertisement -

RUU tersebut melibatkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, iaitu RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 dan RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023 bagi bacaan kali kedua.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, RUU yang hanya berbaki dua lagi itu akan memendekkan tempoh persidangan hari ini, sekali gus menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak serius melaksanakan fungsi Parlimen.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Ugak Anak Kumbong, mencadangkan supaya persidangan hari ini tidak ditangguhkan sehingga dua RUU terbabit diputuskan di Dewan Rakyat.

“Soalan kami di pihak pembangkang, hari ini adalah hari keempat (persidangan) dan kita ada tujuh hari lagi. Saya nak tanya adakah kerajaan tidak mempunyai apa-apa RUU untuk tujuh hari lagi atau adakah kerajaan nak buat kejutan seperti RUU Insolvensi (Pindaan) 2023 baru-baru ini?

“Sudahlah tidak ada penjelasan. Kerajaan dulu panggil semua Ahli Parlimen dan menteri untuk beri penjelasan dulu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, adakah ada RUU lagi untuk tujuh hari persidangan dan kalau ada, bilakah diadakan.

“RUU bacaan pertama sudah tiada. Bacaan kali kedua tak tahu bila, jadi apa lagi yang ada,” katanya yang mahu soalannya yang ditujukan kepada kerajaan direkodkan.

“Mungkin kementerian-kementerian sibuk untuk mengadakan filem ‘the true’… filem ‘Untold Story’, yang sudah jadi ‘Unsold Story’,” bidas Takiyuddin. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -