Sahabat Nabi tidak mengambil rasuah

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 74)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

IMAM Baihaqi mengeluarkan daripada Ibn Umar RA, lalu menyebutkan hadis yang panjang mengenai kisah Khaibar. Antaranya: Abdullah bin Rawahah ra datang kepada penduduk Khaibar setiap tahun. Beliau menilai hasil tanaman mereka dan memberi sebahagiannya kepada mereka. Penduduk Khaibar mengadu kepada Rasulullah SAW tentang ketegasan Abdullah ketika menilai itu.

- Advertisement -

Penduduk Khaibar cuba memberi rasuah kepadanya. Abdullah bin Rawahah berkata: Wahai musuh Allah! Adakah kamu mahu beri aku makan yang haram? Demi Allah! Aku datang kepada kamu dari sisi seorang manusia yang paling aku kasih. Dan kamu adalah orang yang paling aku benci kerana perbuatan kamu lebih dari kera dan babi. Kebencian ku kepada kamu tidaklah menyebabkan aku tidak berlaku adil kepada kamu.

Mereka menjawab: Dengan inilah tegaknya langit dan bumi. (Kehidupan para Sahabat, Al-Kandahlawi 2/108)

Kisah di atas mengajar kita beberapa perkara:

i) Ulama berkata: Para sahabat Nabi SAW semuanya adil. Riwayat hadis mereka diakui. Akhlak baik mereka diikuti. Sifat hebat mereka dipelajari. Barulah umat ini boleh berada di tahap tertinggi.

ii) Khaibar menjadi tempat tinggal Yahudi selepas dihalau atau dikeluarkan dari Madinah. Tanahnya subur. Tanamannya menjadi. Namun penduduk Yahudi Khaibar bukanlah golongan manusia yang baik. Begitupun, Islam tetap berlaku adil kepada semua, sekalipun kepada musuh.

iii) Rasuah berlaku sepanjang zaman. Rasuah menjadi makanan dan darah daging orang Yahudi. Mereka menyangka para sahabat Nabi sama seperti mereka juga. Di zaman kini pun demikian. Ada orang yang bergelumang dengan mungkar, mereka sangka orang lain juga sukakan mungkar seperti mereka juga.

iv) Rasuah sudah menjadi barah. Ia sebenarnya sangat parah. Menyelinap dalam semua sektor kerajaan atau swasta, lalu menjarah. Ada yang mengambil sedikit, lalu ditangkap. Ada yang mengambil banyak, tapi terlepas. Ada yang sangat banyak kes rasuahnya yang menunggu perbicaraan, tapi elok-elok sahaja dilantik ke jawatan tertinggi.

v) Membanteras rasuah biar dari akar umbinya. Mulai pemimpin tertinggi, hingga staf paling bawah mesti menjauhkan diri dari rasuah. Nabi menyebut: Orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah di dalam neraka. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -