Pemberian sagu hati kakitangan, ahli lembaga amalan biasa

- Advertisement -

TUMPAT: Kerajaan Negeri menyifatkan pemberian wang sagu hati kepada kepada kakitangan dan ahli lembaga pengarah menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai amalan biasa.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, begitu juga sagu hati kepada kakitangan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan lembaga pengarahnya.

Katanya, ia merupakan satu inisiatif dan pemberian biasa yang diambil AKSB bagi meraikan kakitangan menjelang sambutan Hari Raya.

“Mana-mana syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) berhak memberi sumbangan wang saguhati kepada mana-mana agensi di bawahnya termasuk Ahli Lembaga.

“Begitu juga langkah yang diambil oleh AKSB untuk meringankan beban kakitangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Dapur Hijau Peringkat Negeri di sini Pantai Sri Tujuh hari ini. (Foto atas)

Baru-baru ini tular di media sosial AKSB memberi saguhati kepada kakitangan dan ahli lembaganya menjelang sambutan Hari Raya.

Ekoran itu AKSB pada kenyataan sebelum ini menjelaskan bayaran sagu hati dibuat mengikut prosedur tadbir urus kewangan dan diluluskan lembaga pengarah.

Ketika ditanya mengenai tunggakan bil elektrik AKSB mencecah lebih RM35 juta Menteri Besar meminta mendapat maklumat daripada Pengurus Besar AKSB Dr Nazmi Ghazali Azmi atau Pengerusi Lembaga Pengarah, Dato’ Sr Azami Mohd Nor.

Sementara itu mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri berkata, setakat ini gerak kerja mencapai kira-kira 82 peratus.

Hadir sama pada program tersebut anggota-anggota Exco Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Wan Roslan Wan Hamat, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -