Lakukan sesuatu, elak politik jejas sukan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mencadangkan kerajaan bertindak untuk memastikan apa juga yang berlaku dalam politik tidak akan menjejaskan sukan kerana sukan adalah milik semua.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pusat berkata, perkara ini dibangkitkan berikutan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyebut bahawa ketidakstabilan politik adalah antara punca menjejaskan pencapaian Sukan Asia Tenggara (SEA).

“Saya setuju bahawa pasukan yang diketuai Yang Berhormat (YB) menteri mempunyai masa singkat untuk membuat persiapan bagi menghadapi Sukan SEA.

“Namun, saya merujuk kepada kenyataan YB menteri yang menyebut bahawa ketidakstabilan politik adalah antara punca kepada (kemerosotan) pencapaian Sukan SEA,” katanya dalam soalan tambahan ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Namun, Ahmad Fadhli berpandangan bahawa ramai orang kurang faham dengan kenyataan itu kerana berdasarkan keadaan beberapa negara seperti Kenya, Cuba dan Serbia yang keadaan politik tidak lebih stabil berbanding Malaysia, tetapi dari sudut sukan, prestasi agak baik.

“Itu belum lagi Palestin, negara yang berperang, tapi ranking pasukan bola sepak lebih tinggi daripada Malaysia.

“Soalannya, kalau YB menteri menyebut ketidakstabilan politik menyebabkan pencapaian dalam sukan terjejas, apakah yang dilakukan oleh YB menteri untuk masa depan, bagi memastikan apa juga yang berlaku dalam politik tidak menjejaskan sukan kerana sukan ini milik semua,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan kerana tiada peruntukan khusus diberikan untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah program podium berikutan ketidakstabilan politik negara selama empat tahun.

Sepanjang tempoh itu, katanya tiga pertukaran Menteri Belia dan Sukan berlaku yang menyebabkan pertukaran bajet, fokus dan ahli lembaga pengarah.

Katanya, dalam butiran Bajet 2022 yang dibentangkan pada Oktober 2021, tidak ada dinyatakan peruntukkan untuk program podium 2022 sehingga menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet ke arah temasya sukan utama bagi 2022 antaranya Sukan SEA Vietnam, Sukan Birmingham dan Sukan ASEAN. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -