Kerajaan perlu serius martabatkan Mahkamah Syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan kesungguhan untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965.

- Advertisement -

Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, banyak akta dalam Perlembagaan Persekutuan sudah dipinda bagi menaikkan tahap hukuman dan jumlah denda.

Beliau berkata, pindaan membabitkan kenaikan hukuman dan jumlah denda merupakan instrumen yang paling penting bagi memartabatkan Mahkamah Syariah di negara ini.

“Kita telah membuat pelbagai pindaan akta menaikkan pelbagai hukuman kesalahan di luar di sana, seperti Akta Hidupan Liar 2010 dari RM500,000 dinaikan kepada RM1 juta.

“Namun untuk akta ini, kita masih dalam keadaan lama, tiada kesungguhan pihak kerajaan untuk menaikkan hukuman,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha tersebut sentiasa dalam pemerhatian pihaknya bagi meneruskan agenda yang dirintis oleh kerajaan lalu.

Beliau berkata, pindaan RUU355 hanya menunggu masa untuk dibentangkan di Dewan Rakyat kerana usaha itu merupakan sebahagian langkah untuk memerkasakan Mahkamah Syariah.

“Seperti mana yang pernah saya sebut dalam jawapan lisan sebelum ini, kita akan bawa perkara berkaitan pindaan yang dibuat pada akta bidang kuasa mahkamah syariah tersebut.

“Insya-Allah apabila pindaan itu dibuat akan dibawa ke Parlimen usaha ke arah menambah bidang kuasa jenayah syariah itu akan sama-sama pastikan ianya berjaya,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -