Kerajaan bertukar, dasar berubah

- Advertisement -

DI NEGARA kita dasar kerajaan mudah berubah kerana faktor politik. Pertukaran kerajaan bermakna keputusan yang dibuat sebelum itu boleh dirombak.

- Advertisement -

Kata orang tidak konsisten. Keputusan berubah bukan kerana kajian impak, sebaliknya kerana elemen politik.

Kesannya bukan sekadar melibatkan kerugian wang ringgit, malah tenaga dan kepakaran dibazirkan. Namun itulah yang sering diulang-ulang di Malaysia.

Biarpun setiap perdana menteri bercakap mengenai perbaziran, rasuah dan penyelewengan, namun tanpa sedar ia dibiarkan berulang. Sebab musababnya kerana politik.

Banyak kes yang berlaku sebelum ini boleh menjadi petunjuk. Antaranya projek Tambak Selatan Pulau Pinang (PSR).

Projek tambakan laut dirancang di perairan yang menjadi lubuk rezeki nelayan di Gertak Sanggul dan Teluk Pulau Pinang.

Projek PSR pada awalnya kerajaan negeri merancang menebus guna kawasan laut seluas 1,821 hektar bagi membina tiga pulau buatan.

Lokasi itu bermula di kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayam Lepas sehingga ke perairan Permatang Damar Laut.

Menurut laporan media, projek itu bagi membiayai Projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dianggar bernilai RM46 bilion.

Ia juga turut melibatkan pembinaan terowong bawah laut, lebuh raya, LRT, monorail dan jaringan bas menyeluruh, antara bahagian pulau dan Seberang Perai.

Biarpun kerajaan negeri menafikan PSR bagi membiyai projek PTMP, namun rakyat Pulau Pinang sudah sedia maklum.

Projek itu dirancang ketika era awal pentadbiran kerajaan DAP. Bagaimanapun Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak projek tersebut. Kajian mendapati menjejaskan alam sekitar.

Malah pada 9 September 2021 Lembaga Rayuan JAS mengetepikan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek PSR.

Ia memberi kelegaan kepada nelayan terutamanya di Sungai Batu. Sejak awal lagi mereka membantah keras projek tersebut.

Tiga anggota Lembaga Rayuan JAS menolak kelulusan EIA sebelum ini. Kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 terbatal dan tidak sah. Ketika itu Putrajaya ditadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Notis rayuan berkenaan difailkan kepada Lembaga Rayuan JAS oleh persatuan nelayan pada 29 Julai 2019 di bawah seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974).

Nasib nelayan

Projek PSR menjejas rezeki nelayan di Sungai Batu, Teluk Kumbar, Gertak Sanggul dan Permatang Tepi Laut. Kesannya akan dirasai nelayan Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Nelayan di kawasan selatan akan mengalami nasib sama seperti nelayan di Tanjung Tokong dan Gurney Drive yang kini terkesan projek tambakan laut. Nelayan di Kawasan terbabit sekarang hilang sumber rezeki.

PSR yang dirancang kerajaan negeri melibatkan tambakan pasir dan bahan-bahan lain termasuk batu akan mewujudkan tiga pulau tebus guna.

Kawasan tebus guna itu membabitkan keluasan keseluruhan 1,821.1 hektar dan dianggar memerlukan isi tambakan sebanyak 207,000,000 meter padu.

Malangnya kemenangan nelayan membantah PSR tidak mampu bertahan lama. Perubahan kerajaan yang menerajui Putrajaya dilihat turut memberi sinar baharu kepada kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilapor berkata, kerajaan negeri mendapat kelulusan daripada JAS melalui surat pada 11 April lalu.

Kerajaan Pulau Pinang berjaya memperolehi Laporan EIA dan kelulusan JAS projek tambakan laut Selatan Pulau Pinang di era PH-BN.

Ekoran kelulusan itu nelayan tempatan dan pencipta alam sekitar menggesa Ketua Pengarah JAS memberi alasan berhubung keputusan itu.

Mereka juga menuntut kerajaan negeri mendedahkan kepada umum 71 syarat yang dikenakan JAS.

Biarpun kerajaan negeri sebelum ini menafikan PSR ada kaitan dengan Projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, namun kenyataan perdana menteri dan menteri menjelaskan situasi tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilapor memberitahu kerajaan pusat akan mengambil alih pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT) daripada kerajaan negeri.

Menurutnya perbincangan mengenai mekanisme pembiayaan termasuk laporan cadangan pembinaan akan diperincikan.

Malah pada 6 Mei 2023 Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim antara lain dilapor menyebut rancangan projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang akan dikaji semula dan diperkecilkan skop tambakan.

Menurutnya sebagai alternatif, kerajaan pusat akan menyediakan skim dalam jumlah dana yang besar untuk melaksanakan segera projek transit aliran ringan (LRT).

Pengurus Korporat dan Pengantarabangsaan Yayasan Strategik Lestari (YSL) Zikrullah Ismail berkata, biarpun kerajaan negeri mahu mengubah kepada satu pulau, namun nelayan dan aktivis alam sekitar tetap tidak setuju.

“Kita tidak bersetuju biar pun dikurangkan kepada satu pulau. Ini kerana lokasi projek PSR merupakan tempat pembiakan ikan.
“Malah projek itu memberi kesan kepada hakisan pantai di seperti di kawasan Andaman Island. Kesan hakisan pantai di kawasan tersebut jelas kelihatan sekarang,” katanya di sini.

Andaman Island, merupakan pulau buatan berkeluasan 291 hektar di Pulau Pinang. Ia bakal menjadi projek perbandaran bersepadu terbesar di Malaysia.

Sehingga sekarang difahamkan sebanyak 102 hektar telah dibangunkan bagi fasa 1 membabitkan pembinaan apartmen The Meg sebanyak 1,020 unit dengan GDV sebanyak RM647 juta.

Zikrullah berkata, sehingga sekarang kerajaan negeri tidak dapat menyelesaikan masalah hakisan di kawasan tersebut.

“Apakah jaminan pengecilan tiga pulau kepada satu pulau akan menjadi lebih baik, tentunya tidak. Kalau pulau itu menjadi milik persendirian nelayan tidak boleh mendekatinya.

“Tiga kepada satu pulau tidak memberi jaminan ia memberi kesan lebih baik,” ujarnya.

Projek PSR membawa nelayan Pulau Pinang berkampung di parlimen pada Julai 2019, kesannya pada 21 September 2021 nelayan berjaya mencabar projek PSR.

Malangnya selepas berubah kerajaan pada PRU-15, laporan kesan alam sekitar diluluskan semula. Maka benarlah kata orang, kerajaan bertukar polisi berubah.

Lebih dibimbangi lagi apabila ia dikaitkan dengan keuntungan politik. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -