Kaji semula eksport tenaga boleh baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) mempersoalkan keputusan Kerajaan Madani menarik balik larangan eksport tenaga boleh baharu yang dijana di negara ini.

- Advertisement -

Mantan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, tindakan itu dikatakan akan memberi manfaat kepada syarikat di negara ini yang menceburi perniagaan tenaga boleh diperbaharui.

Namun, katanya adakah pemansuhan larangan eksport tenaga boleh baharu tidak akan merugikan negara dan bagaimana pula dengan nasib pemain tempatan.

“Bagaimana pemansuhan ini dapat memanfaatkan syarikat yang mempunyai perniagaan tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini melaksanakan dasar melarang eksport tenaga boleh diperbaharui, terutama ke Singapura kerana industri ini membabitkan kos yang mahal dan melibatkan pelaburan besar-besaran.

“Kerajaan lalu bertindak begitu demi manfaat rakyat dan negara. Kerajaan ketika itu berpendapat tidak menjual tenaga elektrik daripada tenaga boleh diperbaharui lebih menguntungkan negara.

“Secara ringkas, keputusan kerajaan terdahulu menunjukkan usaha gigih untuk membangunkan tenaga boleh baharu bagi mencapai gabungan tenaga mampan dan melaksanakan tanggungjawab bagi masa depan yang lebih hijau untuk semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -