Hentikan suruh orang Umno undi DAP

- Advertisement -

PERNAH dengar lagu ‘Serba salah oleh Allahyarham R. Azmi yang popular sekitar 50-an?

Dicakap salah. Tak cakap salah. Jadi semua serba salah. Serba salah jadinya Umno sejak dipaksa ikut langkah Presidennya  berkawan dengan DAP. 

Terbaru seorang ahli MT Umno berkata:

“Hentikan suruh orang kita undi DAP. Nanti penyokong kita kecil hati jadi masalah kepada kita. Puji melambung DAP itu tak payahlah.”

Baru Umno sedar betapa luka dan kecewanya hati para penyokong dan pengundi mereka apabila Presiden Umno memutuskan menjalin hubungan dengan DAP dan PH.

Orang Melayu berdekad-dekad diasuh dan dididik oleh Umno mengenai ancaman DAP terhadap masa depan politik umat Melayu.

DAP yang dilahirkan setelah PAP parti mendiang Lee Kuan Yew dihalau balik ke Singapura kekal dengan gagasan Kuan Yew mahukan ‘Malayaian Malaysia’.

Malaysia yang semua kaum dan agama sama-rata. Tiada kontrak sosial yang mengiktiraf hak ketuanan Melayu, penduduk asal tanah bertuah ini. Semua sama, dari sudut peluang ekonomi, pendidikan, bantuan bersaing ikut meritokrasi macam di Singapura.

Kerana itu penyokong dan ahli Umno berat untuk mahu menganggap DAP ini sebagai kawan apatah lagi dijulang dan disokong.

Presiden Umno yang kini selesa dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu anggap ahli dan penyokong Umno akan taat dan patuh terjun bersama-sama beliau, rupanya tidak.

Rupanya maruah dan harga diri bangsa dan agama ini sukar dijual beli. 

Mungkin ada pimpinan Umno yang boleh setuju tetapi yang lain rata-rata tidak akan sanggup.

Sebagaimana anak-anak Pahang dulu tidak sanggup tunduk pada Syers dan penjajah British, anak-anak Melayu tidak jual maruah pada penjajah Jepun dan kemudiannya Rashid Maidin dan Abdullah CD juga mendapati sukar mendapat rekrut anak-anak Melayu bersama mereka dalam PKM kerana bangsa ini tidak tergamak menggadai harga diri.

Percayalah ahli-ahli Umno setelah sejenak merasakan permuafakatan ummah melalui Muafakat Nasional satu ketika dahulu akan lebih cenderung mendukung usaha menyatupadukan ummah, membina kekuatan politik umat Melayu dari bersekongkol dan menjadi terompah DAP.

Ingat Umno cuma ada 26 kerusi walau pegang jawatan Timbalan Perdana Menteri tapi DAP punya 40 kerusi dan cukup dominan dalam kerajaan.

Oleh itu tak perlulah serba salah dan gundah gulana. Nasib dan masa depan bangsa dan agama di tangan anda bukannya tangan Presiden Umno. 

Jika tak sanggup tunduk pada DAP, tiada salahnya cari jalan keluar. 

Kalau nakhoda kurang faham, biarkan sahaja kapal tenggelam, di lautan luas ini ramai lagi nakhoda yang jujur yang di atas kapalnya sewajarnya kita berteduh.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -