KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) wajar mewujudkan peraturan yang jelas bagi mengelakkan pembinaan masjid dan surau di kawasan perumahan menjadi pertikaian sehingga ke mahkamah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, kebelakangan ini berlaku kes projek pembinaan surau dan masjid di kawasan perumahan diheret ke mahkamah.
Katanya, dalam konsep keharmonian kaum, pihak berkuasa perlu memberi panduan bagaimana cara melaksanakan pembinaan rumah ibadat tersebut di kawasan perumahan bagi mengelakkan berlaku pertikaian.
“Sudah sampai masanya kerajaan negeri, KPKT dan kementerian tertentu mengambil satu pendekatan dan memudahkan urusan.
“Saya mencadangkan kalau boleh di kawasan perumahan perlu digazetkan satu tempat untuk dijadikan ruang rumah ibadat orang Islam yang boleh juga dijadikan pusat kegiatan masyarakat setempat,” katanya pada perbahasan ucapan terima Yang Dipertua Negeri Sabah pada persidangan DUN Sabah semalam.
Dr Aliakbar juga mendedahkan banyak jalan raya sedang dalam pembinaan kualitinya begitu mengecewakan sehinggga membahayakan pengguna.
Katanya pembinaan yang dijalankan seperti acuh tidak acuh sehingga menyebabkan ada tempat jalan seperti berombak.
“Jangan hanya mengharapkan rakyat membuat aduan tetapi pihak berwajib perlu turun memantau keadaan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2023