Dana PRU15: Sejauh mana SPRM siasat parti kerajaan

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan sejauh mana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap parti-parti dalam kerajaan berhubung perbelanjaan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk sumber dana.

- Advertisement -

Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengemukakan soalan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang mengemukakan soalan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini sebagaimana di bawah .

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [ Sik ] minta Perdana Menteri menyatakan usaha memartabatkan pentadbiran Mahkamah Syariah yang menyeluruh termasuklah dari segi hukuman kesalahan jenayah syariah, perlantikan hakim syari’e dan sebagainya.

Dato’ Rosol bin Wahid [ Hulu Terengganu ] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah kaedah yang diguna pakai oleh Kementerian untuk mengawal dan membendung lambakan sijil-sijil akademik khususnya Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) yang didapati sangat mudah dibeli dari institusi pengajian tinggi swasta negara ini. Berapa banyak kes seumpamanya direkodkan serta tindakan yang diambil terhadap pihak yang terbabit dalam isu ini.

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [ Bachok ] minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah kemajuan yang telah dicapai oleh Kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan dan menghapuskan kemiskinan tegar sejak 6 bulan yang lalu.

Datuk Muslimin bin Yahaya [ Sungai Besar ] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan secara terperinci geran-geran untuk usahawan yang terdapat di beberapa agensi di bawah Kementerian dan apakan syarat-syarat dan terma untuk memohon geran-geran tersebut.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [ Merbok ] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah usaha dalam memastikan barangan kawalan di seluruh negara terutamanya di Parlimen Merbok sentiasa mencukupi dan bagaimanakah kerja pemantauan tersebut dijalankan.

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah [ Indera Mahkota ] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan:-

 (a) pendekatan Kementerian untuk meningkatkan kadar penyertaan murid dalam program pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada peringkat menengah atas dan universiti yang rendah berbanding sasaran nisbah 60:40; dan

 (b) usaha proaktif Kerajaan untuk meningkatkan pengambilan pekerjaan dalam kalangan wanita yang tamat pengajian dalam bidang STEM supaya setara dengan golongan lelaki berdasarkan laporan KPT Graduate Tracer Study 2015 – 2021.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [ Arau ] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan sejauh manakah konsep jualan Rahmah berjaya membantu mengurangkan beban rakyat yang berdepan kos sara hidup tinggi sedangkan harga barang mentah naik dan gagal dikawal dengan baik hingga membebankan peniaga.

Tuan Zulkifli bin Ismail [ Jasin ] minta Perdana Menteri menyatakan apakah persediaan yang dilakukan para agamawan dan cendekiawan di negara ini terhadap isu dan cabaran teknologi moden terutama sekali penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) daripada sudut pandang dan panduan agama.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [ Ketereh ] minta Menteri Pertahanan menyatakan berapakah bilangan Veteran ATM yang menuntut penyelarasan pencen dan apakah status terkini penyelarasan pencen mereka iaitu mereka yang berpencen sebelum 1 Januari 2013.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [ Masjid Tanah ] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan bercadang supaya mana- mana Menteri yang terlibat dengan siasatan SPRM untuk sekurang-kurangnya direhatkan sementara dari tugas sebagai Menteri. Ini bagi memberi ruang kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan sepenuhnya sebagai tanggungjawab kolektif Kerajaan, seperti mana prinsip tatakelola yang dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [ Tangga Batu ] minta Perdana Menteri menyatakan perbandingan trend dan bilangan kes online scamming mengikut tahun, negeri, umur, etnik mangsa dan jumlah wang yang terlibat untuk jangka masa lima tahun kebelakang dari tahun 2018 – 2023 (terkini) dan juga berapa bilangan scammer yang telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman.

Datuk Muslimin bin Yahaya [ Sungai Besar ] minta Perdana Menteri menyatakan berapa banyak penyaluran dana sama ada pinjaman ataupun geran di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam tempoh 10 tahun untuk membantu para usahawan dan berapa peratus pulangan semula pinjaman dana ini dibayar semula oleh para usahawan kepada pihak PUNB

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [ Pengkalan Chepa ] minta Perdana Menteri menyatakan penjelasan berhubung pembayaran royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan sebagaimana yang termaktub dalam Fasal 1(1) Perjanjian Kerajaan Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975. Malah, kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Intitusi) juga tidak tepat memandangkan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) telah ditolak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 5 November 2015.

Datuk Haji Awang bin Hashim [ Pendang ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan tahap kebebasan media (media freedom) yang dipraktikkan di Malaysia dan apakah bidang kuasa yang digunakan dalam mengawal penyebaran bahan-bahan yang mampu menggugat ketenteraman awam.

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [ Pokok Sena ] minta Perdana Menteri menyatakan relevansi mengadakan sekali lagi sesi libat urus pembentangan RUU Dana Politik selepas sesi yang sama telah diadakan pada September tahun lalu.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [ Alor Setar ] minta Perdana Menteri menyatakan pendirian terkini terhadap pelaksanaan konsep federalisme antara Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Kedah.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [ Tanah Merah ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan jumlah kandungan Tik Tok yang disekat kerana mengkritik Kerajaan Perpaduan.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [ Hulu Selangor ] minta Perdana Menteri menyatakan pemerkasaan undang-undang Syariah dan ekonomi Islam mengikut konsep Al-Falah yang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [ Larut ] minta Menteri Pertahanan menyatakan status terkini tindakan terhadap laporan PAC serta siasatan SPRM berhubung skandal rasuah LCS TLDM.

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [ Gerik ] minta Perdana Menteri menyatakan apakah status permohonan dan pembinaan perumahan Generasi Ke 2 FELDA di seluruh negara.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [ Hulu Selangor ] minta Perdana Menteri menyatakan usaha dan langkah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan bagi mengatasi masalah saham FGV yang merudum.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [ Tangga Batu ] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan bilakah program Diploma Fisioterapi yang tidak lagi selari dengan garis panduan dan keperluan WHO dan World Confederation for Physical Therapists (WCPT) hendak ditamatkan atau dijumudkan oleh pihak Kementerian dan Malaysia Qualification Agency (MQA).

Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [ Kubang Pasu ] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan:-

 (a) apakah perancangan dan strategi Kementerian dalam usaha memperkasa industri halal bagi menjadikan Malaysia sebagai hab halal di peringkat global sejajar dengan Pelan Induk Industri Halal 2030; dan

 (b) apakah langkah Kementerian untuk meningkatkan nilai tambah produk halal tempatan bagi memenuhi permintaan global.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [ Tasek Gelugor ] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan akan memasukkan dalam draf Akta Pendanaan Politik satu klausa untuk mewajibkan peruntukan tetap bagi Dana Pembangunan Kawasan Parlimen kepada semua Ahli Dewan Rakyat tanpa mengira parti, dan bilakah Akta Pendanaan Politik itu akan dibentangkan di Parlimen.

Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [ Kuala Kangsar ] minta Perdana Menteri menyatakan pecahan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sehingga kini bagi tujuan promosi dan pengiklanan jenama Malaysia Madani di seluruh negara.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana siasatan SPRM terhadap parti-parti dalam kerajaan berhubung perbelanjaan ketika PRU-15 termasuk sumber dana.

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [ Kuala Terengganu ] minta Menteri Ekonomi menyatakan secara terperinci statistik miskin tegar di Kuala Terengganu dan juga statistik permohonan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) oleh rakyat Kuala Terengganu.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [ Maran ] minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan apakah usaha dan inisiatif strategik yang diambil oleh Kementerian untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi ke negeri Pahang sekaligus mengukuhkan kedudukan negeri Pahang sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [ Maran ] minta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha dan perancangan terperinci Kerajaan susulan penangguhan pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) sehingga akhir bulan Mei 2023 sebelum ia dapat dimuktamadkan.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [ Kota Bharu ] minta Perdana Menteri menyatakan apakah jaminan Kerajaan dalam memastikan prinsip kebebasan institusi badan kehakiman sentiasa dipertahankan serta dilindungi daripada sebarang tekanan, pengaruh dan campur tangan pihak lain.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [ Kuala Kedah ] minta Perdana Menteri menyatakan peranan Kerajaan dalam menangani isu penghinaan agama yang berleluasa di media sosial.

Dato’ Rosol bin Wahid [ Hulu Terengganu ] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan berapa jumlah terkini perniagaan yang berdaftar dengan Kementerian untuk menyertai inisiatif Menu Rahmah. Adakah terdapat peniaga yang menarik diri daripada menyertai inisiatif ini sejak ia dilancarkan dan sekiranya ada, apakah punca ia berlaku.

Dato’ Sri Dr. Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib [ Maran ] minta Perdana Menteri menyatakan perincian terkini kos perbelanjaan bagi penjenamaan Kerajaan Malaysia Madani termasuk kos perunding, acara jelajah, percetakan, pembelian iklan, papan iklan billboard, sewaan bas, serta kos lain sejak ia mula dilancarkan pada 19 Januari 2023.

Dato’ Hajah Mumtaz binti Md Nawi [ Tumpat ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan agensi dan pihak yang dipertanggungjawabkan memantau kandungan dan peranti digital mesra kanak-kanak kerana terdapat banyak laporan bahawa ia banyak menyumbangkan kepada terencatnya perkembangan interpersonal dan gejala sosial dalam kalangan generasi pelapis ini.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta Perdana Menteri menyatakan apakah jaminan Kerajaan supaya badan penyiasat tidak dijadikan alat pendakwaan politik terhadap pembangkang.

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [ Dungun ] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan perancangan program-program jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi meringankan kos sara hidup rakyat dan jangkaan tahun menoktahkan kemiskinan rakyat.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [ Pasir Mas ] minta Perdana Menteri menyatakan status siasatan terhadap dakwaan bahawa terhadap parti-parti di dalam Perikatan Nasional mendapat sumbangan daripada dana judi di dalam kempen pilihan raya umum yang lepas.

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [ Gua Musang ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan apakah perancangan Kementerian dalam memastikan sepanjang jalan raya persekutuan dan jalan negeri mempunyai rangkaian perkhidmatan selular yang memuaskan.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [ Parit Buntar ] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan IPT yang terlibat dalam program Purple Book hingga kini dan berapakah dana yang dikumpul serta apakah status pelaksanaan Purple Book sekarang ini.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [ Tanjong Karang ] minta Menteri Ekonomi menyatakan perancangan dan tindakan Kerajaan bagi menangani ketidakserataan penarafan bagi T20/M40/B40. Kerajaan dilihat seakan menafsirkan perbezaan pecahan ini secara pukul rata dan hanya dengan melihat jumlah pendapatan tanpa mengira bilangan isi rumah dan tanggungan.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [ Mersing ] minta Perdana Menteri menyatakan:-

 (a) status penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di daerah Mersing dan negeri Johor keseluruhannya akibat banjir yang berlaku pada Monsun Timur Laut yang lalu; dan

 (b) inisiatif Kerajaan untuk membina semula penempatan dan infrastruktur asas masyarakat Orang Asli yang terjejas banjir khasnya di daerah Mersing.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [ Tanah Merah ] minta Menteri Pertahanan menyatakan adakah Kementerian Pertahanan akan menambahbaik kemudahan pembelajaran di PERHEBAT, Sg. Buloh yang kini sudah usang dan masih menggunakan alat bantuan mengajar secara manual dalam usaha membantu latihan peralihan kepada bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya meningkatkan aspek kebolehpasaran kerja mereka dalam zaman teknologi 4 IR.

Dr. Hajah Halimah Ali [ Kapar ] minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah agenda dan program spesifik yang akan dilaksanakan oleh pihak Kerajaan untuk mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan kaum di Malaysia.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [ Besut ] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan kenapa gangguan dan kekurangan bekalan gula satu (1) kilogram masih berterusan di Terengganu dan Kelantan walaupun kilang gula MSM di Johor dan Seberang Perai telah beroperasi semula pada 25 April 2023.

Datuk Haji Awang bin Hashim [ Pendang ] minta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan terhadap agenda pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 untuk dibahaskan di Parlimen seterusnya jangka masa sasaran untuk pelaksanaan serta penguatkuasaan RUU terbabit.

Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [ Permatang Pauh ] minta Perdana Menteri menyatakan data kes profil tinggi yang telah digugurkan oleh Peguam Negara sejak 2018 sehingga 2023 dan alasan penguguran kes tersebut.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [ Tasek Gelugor ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan adakah DNB akan terus wujud apabila Kementerian beranjak ke model dwirangkaian nanti atau adakah ia akan diserahkan kepada operator swasta. Jika diserahkan kepada swasta, apakah jaminan bahawa Kementerian boleh mendapatkan harga RM15 bilion seperti penilaian yang dibuat oleh Maybank Investment Bank sebelum ini.

Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin [ Larut ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan jaminan kerajaan bahawa dasar baharu dwi- rangkain dalam pelaksanaan 5G negara tidak menjejaskan Digital National Berhad (DNB) sebagai sebuah GLC dan sejuah mana risiko terhadap keselamatan negara dapat dipastikan tidak terdedah.

Dr. Abd Ghani bin Ahmad [ Jerlun ] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan telah membuat kajian terhadap konsep diyat untuk mewajibkan pembayaran pampasan kepada keluarga atau waris mangsa susulan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 telah diluluskan pada sesi persidangan Parlimen Mac 2023 dan sejauhmanakah kajian tersebut memberi impak yang positif untuk pelaksanaannya.

Tuan Rushdan bin Rusmi [ Padang Besar ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan apakah rasionalnya Axiata Group Bhd melantik Vivek Sood sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu dan Pengarah Urusannya bermula 23 Mac 2023, adakah sudah tiada rakyat Malaysia yang berkemampuan untuk mengetuai syarikat telekomunikasi Malaysia ini.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [ Ketereh ] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah langkah-langkah yang dibuat oleh Kementerian untuk mempercepatkan veteran yang bertugas sebelum 2 Disember 1989 mendapat penghargaan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan berapa elaun yang akan dikhususkan buat mereka.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [ Arau ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan mekanisme pihak Kementerian untuk menangani isu golongan penggiat seni veteran yang tidak menerima bayaran yang setimpal dengan pengalaman dan sumbangan besar mereka terhadap negara.

Tuan Jamaludin bin Yahya [ Pasir Salak ] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah perbelanjaan yang digunakan untuk majlis sambutan Aidilfitri di enam negeri baru-baru ini.

Tuan Kalam bin Salan [ Sabak Bernam ] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan mengapa rakaman video takbir Hari Raya Aidilfitri 2023 Ahli Parlimen Pakatan Nasional tidak disiarkan sepertimana sepatutnya.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [ Kota Bharu ] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah keberkesanan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sejak ia mula ditubuhkan dalam menangani kes jenayah penipuan kewangan dalam talian atau scam secara menyeluruh.

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [ Kepala Batas ] minta Perdana Menteri menyatakan:-

 (a) dasar Kerajaan terhadap pelarian Rohingya dan bantuan kebajikan; dan

 (b) tempoh kependudukan pelarian Rohingya yang mempunyai kad UNCHR.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah Kementerian meneruskan keputusan Kerajaan Perikatan Nasional yang bersetuju membuat perolehan kereta elektrik (EV) untuk program LIMA ‘23 yang sedang berlangsung, jika ya, nyatakan jumlah kenderaan itu dan jumlah kos bagi setiap kereta EV yang diperoleh.

Waktu Pertanyaan Menteri

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [ Pasir Mas ] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah langkah ke hadapan yang akan dilaksanakan, susulan daripada keputusan yang diperoleh dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -