Blok kerajaan kelam-kabut untuk menang pengundian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen blok kerajaan kelam-kabut apabila Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor, menerima permohonan pembangkang supaya undi belah bahagi diadakan di Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Pembangkang memohon supaya undi belah bahagi dilaksanakan untuk memutuskan cadangan yang dibawa oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Ugak Anak Kumbong supaya persidangan hari ini, ditangguhkan selepas dua Rang Undang-Undang (RUU) dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) diputuskan.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker memutuskan supaya Dewan Rakyat terlebih dahulu direhatkan 10 minit sebelum undi belah bahagi dilaksanakan.

Selepas loceng dibunyikan selama dua minit, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, meminta pintu Dewan Rakyat ditutup, tetapi dibantah beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan seperti RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat).

Petugas Dewan Rakyat bersedia untuk melakukan proses undi belah bahagi

Namun, Awang menempelak bantahan itu dengan menyatakan menutup pintu sebenarnya adalah tindakan yang diminta oleh Ahli Parlimen blok kerajaan ketika menjadi pembangkang pada era pemerintahan kerajaan PN.

Timbalan Speaker kemudian bersetuju dengan permintaan Awang dengan menyatakan keputusan itu adalah mengikut konvensyen Dewan Rakyat.

Namun, beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan dipercayai sempat masuk ke dalam dewan selepas keputusan itu dibuat kerana pintu belum dikunci hingga menimbulkan kekecohan.

Ramli ketika mengumumkan keputusan pengundian memaklumkan seramai 83 Ahli Parlimen bersetuju supaya persidangan hari ini ditangguhkan selepas dua RUU dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) diputuskan. Seramai 52 Ahli Parlimen tidak bersetuju, 86 orang tidak hadir serta satu tidak mengundi.

“Yang tidak mengundi saya,” kata Ramli. – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -