Wang tidak dituntut cecah RM11.2 bilion

Dato' Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta melaksanakan kempen kepada rakyat bagi memupuk kesedaran mengenai wang tidak dituntut kerana jumlah terkumpul sehingga 31 Mac lalu sebanyak RM11.2 bilion.

Dato’ Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, usaha tersebut boleh digembleng menerusi kerjasama agensi kerajaan serta pimpinan akar umbi seperti pejabat penghulu dan ketua kampung.

- Advertisement -

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, peningkatan wang tidak dituntut yang diuruskan oleh Jabatan Akauntan Negara menjadi petunjuk utama sejauh mana kesedaran masyarakat awam mengenai hak mereka.

“Mungkin selain daripada kita menggunakan data-data terkini agensi kerajaan, antaranya Suruhanjaya Komunikasi atau maklumat disalurkan kepada penghulu atau ketua kampung dan sebagainya.

“Mereka inilah yang perlu untuk kita dapat maklumat untuk kita berikan kepada mereka dalam usaha untuk memastikan wang tidak dituntut dari semasa ke semasa dikurangkan,” katanya.

Timbalan Menteri Kewangan dalam jawapan lisannya pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini, memaklumkan kerajaan sentiasa mengadakan taklimat mengenai wang tidak dituntut.

Malah Dato’ Seri Ahmad Maslan berkata, usaha yang sama turut dijalankan di media massa dan membuka satu ruang pemeran pada sebarang aktiviti yang diadakan oleh agensi kerajaan.

“Setiap kali, kita membuat pengumuman mengenai wang tidak dituntut, kadang-kadang satu hari pertanyaan sehingga 30,000 pertanyaan dalam talian dan telefon segalanya.

“Kita minta rakyat membuka laman sesawang Jabatan Akauntan Negara atau eGUMIS yang ada dan kita boleh dapat segala maklumat di situ untuk mendapatkan maklumat mengenai wang tidak dituntut,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -