PADA 23 Mei 2010 bersamaan 9 Jumadil Akhir 1431H adalah tarikh surat beranak Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).
Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS telah melancarkan penubuhannya dengan penggunaan frasa ‘Penyokong PAS’ di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah dan Tanah Klang.
Kini DHPP bukan lagi sekadar penyokong, tetapi adalah pendukung PAS, penubuhan DHPP adalah bagi membolehkan KPP yang ditubuhkan sejak 2004 bergerak aktif dan bebas dalam PAS sebagai sayap parti seperti mana Dewan Pemuda, Ulamak dan Muslimat bahkan diterima sebagai perwakilan mulai Muktamar Tahunan PAS Ke-56 pada 11 hingga 13 Jun 2010 yang diadakan di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan.
Sejarah mencatatkan cadangan penyertaan orang bukan-Islam mendukung PAS bukan suatu yang baharu.
Perbincangannya sudah wujud sebelum merdeka lagi semasa Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan menjadi Yang Dipertua Agung.
Malah, Profesor Zulkifli Muhammad, Timbalan Yang Dipertua Agung melalui kertas bertajuk ‘Kedudukan dan Penyusunan Semula (PAS)’ pada 3 Disember 1961 pernah mencadangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS agar mereka diterima sebagai ahli bersekutu.
1985 PAS sendiri pernah menubuhkan Chinese Consultative Council (CCC), suatu entiti kecil sebagai strategi dakwah dan koordinasi politik sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-7, 1986.
Arkitek dalam sejarah penubuhan DHPP adalah bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Almarhum Ustaz Hassan Shukri.
Pada akhir 2008, beliau diamanahkan mengetuai Jawatankuasa Teknikal untuk meneliti Perlembagaan PAS dan menyediakan cadangan keahlian bukan-Islam dalam PAS.
Kini DHPP juga dibarisi oleh aktivis rakyat yang berganding bahu dengan teknokrat, ahli perniagaan, peguam serta pemegang Ijazah termasuklah Doktor Falsafah (PhD).
Pada 7 Januari 2017, Pejabat ILHAM menerima 12 orang pelajar yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kuasa DHPP Pusat.
Selepas hampir 2 tahun pada 20 Oktober 2018 bersamaan 10 Safar 1440H 6 orang daripada mereka telah menerima sijil Pengajian Asas Islam di Majlis Konvokesyen ILHAM kali ke 13 di Dewan Dato’ Haji Fadhil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar.
Graduan tersebut terdiri daripada Balendran Balasubramaniam, Balasubramaniam Nachiappan, Baradidathan Saminathan, Dr Balachandran Gopal Krishnan dan Kong Tuck Wah selain ketua Wanitanya, Mendiang Kumutha Raman.
Sejak PRU 12–2008 lagi, PAS sudah menghantar non-Muslim bertanding (atas tiket parti PKR).
Bukan setakat itu malah ahli DHPP yang layak dilantik ke jawatan lantikan politik.
Sebahagian dari mereka dilantik menjadi Pegawai Khas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini.
PAS turut mengangkat ketuanya, YB Senator N. Balasubramaniam sebagai Senator pertama DHPP di Dewan Negara.
Begitu juga ramai pimpinan DHPP di negeri-negeri yang dilantik sebagai Pegawai Khas Menteri Besar, ahli majlis bandaran dan ketua kampung. Mereka telah bersama PAS, mereka juga bertanggungjawab membawa suara PAS.
Di Selangor, DHPP sudah tubuh di 11 kawasan (Kuala Langat, Hulu Langat, Puchong, Bangi, Pandan, Sg Buloh, Kota Raja, Gombak, Sepang, Kuala Selangor, Kapar) dengan keahlian melebihi 3,000 orang.
PAS Selangor juga telah melantik Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Melayu kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Low Lee Leong.
Sejak tahun 2016, PAS Selangor pula telah melantik 6 orang ahli DHPP menjadi ahli majlis di 6 Majlis Perbandaran.
PRU13 yang lepas, PAS Selangor turut mencalonkan Pengarah Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) M Rajan yang bertanding di DUN Sentosa manakala Naib Pengerusi DHPP Selangor Kong Tuck Wah bertanding di DUN Rawang.
Selamat menyambut ulang tahun ke-13 buat rakan-rakan seperjuangan DHPP.
MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 24/5/2023