SPKLB: 1,943 usahawan luar bandar dapat manfaat

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) yang dilaksanakan pada 2019 sehingga 2022 telah memberikan manfaat kepada 1,943 usahawan luar bandar dengan nilai geran berjumlah RM13 juta dalam bentuk bantuan pembelian mesin, peralatan, modal pusingan dan baikpulih premis perniagaan.

- Advertisement -

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, daripada jumlah ini, 65 peratus telah berjaya meningkatkan pendapatan sekurang-kurangnya 10 peratus selepas mendapat bantuan geran SPKLB.

Selain itu, katanya berdasarkan Laporan Belanjawan Program dan Prestasi Tahunan Kementerian yang dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF), peratusan peningkatan pendapatan usahawan yang menerima bantuan pembiayaan keusahawanan luar bandar dalam tempoh lima tahun terakhir iaitu tahun 2018-2022 menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun walaupun kebanyakan usahawan dan peniaga kecil terjejas pendapatannya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 melanda negara dan bencana alam.

Menurutnya, pada 2020 misalnya sebanyak 66.17 peratus usahawan berjaya meningkatkan pendapatan mereka selepas enam bulan menerima bantuan pembiayaan keusahawanan luar bandar berbanding sasaran yang ditetapkan pada tahun sebelumnya iaitu 35 peratus.

“Pada tahun 2021, peratusan peningkatan pendapatan di kalangan usahawan luar bandar terus menunjukkan peningkatan iaitu 72 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 60 peratus.

“Seterusnya pada tahun 2022 pula, dianggarkan sebanyak 85 peratus usahawan luar bandar dapat meningkatkan pendapatan mereka berbanding sasaran yang ditetapkan 60 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad di Dewan Rakyat, semalam.

Idris dalam soalannya meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan sehingga kini, berapa peratusan keberjayaan usahawan yang dilahirkan di kawasan desa bagi 5 tahun terakhir (2018-2022) memandangkan sektor keusahawanan atau PKS telah menyumbang hampir 40 peratus kepada KDNK negara. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -