KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia telah menerima enam laporan berkaitan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang didakwa bersifat provokatif dan telah mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), satu kertas siasatan telah dibuka berkait dengan laporan Dang Wangi 4082/2023 bertarikh 13 Februari 2023, dengan membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP).
“Kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwaraya pada 6 April 2023 dan telah diserahkan semula kepada Pegawai Penyiasat untuk melengkapkan kertas siasatan,” ujar KDN dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, hari ini.
Tuan Guru dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah status siasatan terhadap kenyataan pimpinan DAP Pulau Pinang berkenaan Kerajaan perlu tangani penguasaan Melayu dalam perkhidmatan awam. – HARAKAHDAILY 24/5/2023