Pemilik kapal kaya `kenyang’ guna diesel subsidi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memandang serius terhadap isu penggunaan minyak diesel subsidi yang disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

- Advertisement -

Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang), membangkitkan isu ini yang turut banyak dilaporkan oleh media massa.

“Apakah kerajaan sedar, banyak kali media mendedahkan isu ketirisian dan apakah kerajaan sedar di mana berlaku ketirisan, struktur yang ada subsidi minyak diberikan kepada bot kategori C2 sahaja dan bukan kepada kapal kategori C, padahal kedua-dua jenis kapal menangkap (hasil laut) di laut yang sama.

“Ini menyebabkan kapal kategori C2 membeli minyak subsidi dari kapal kategori C. Kapal kategori C menjual minyak subsidi tanpa pergi ke laut,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga mantan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, kerajaan perlu mengambil langkah bagi mengatasi isu ketirisian diesel subsidi agar dapat dirasionalisasikan.

“Jadi apakah langkah-langkah yang patut kerajaan ambil? Dalam kerajaan Madani, T20 adalah orang yang tidak layak menerima subsidi. Tuan punya kapal kategori C dan C2 bukan nelayan, mereka adalah tuan punya kapal yang bernilai antara RM3 juta hingga RM5 juta.

“Kapal ini, hasil tangkapannya mencecah RM300,000 sebulan. Jadi tuan punya kapal tidak layak menerima subsidi,” katanya.

Pandangannya disokong Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang bersetuju bahawa kerajaan perlu memandang serius terhadap isu ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, ketika mengulas berkata, jika terdapat ketirisan diesel subsidi, perlu dilaporkan kepada kementerian.

“Kalau ada kes Yang Berhormat dapat tahu ada pemilik kapal kategori C2 beli diesel subsidi, sila lapor kepada kementerian,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -