PAS ikut rapat pergolakan Umno Melaka

Asri Shaik Abdul Aziz
- Advertisement -

AYER KEROH: PAS Melaka sedia untuk menerima mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri ini yang berminat untuk menyertai PAS.

- Advertisement -

Menurut Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Asri Shaik Abdul Aziz, PAS sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang boleh menerima Islam sebagai cara hidup dan penyelesaian masalah negara.

Katanya PAS Melaka mengikuti rapat perkembangan kemungkinan ada Adun Melaka yang diuar-uarkan akan menyertai PAS.

“PAS Melaka tidak melihat sebarang halangan untuk menerima sesiapa sahaja dari Adun Melaka yang berhasrat untuk bersama PAS Melaka.

“PAS sebagai wadah perjuangan politik Islam sentiasa mengalu-ngalukan sesiapa sahaja menerima Islam sebagai cara hidup,” katanya di sini.

Sebelum ini media melaporkan desas desus ada Adun Umno di Melaka dikatakan akan meninggalkan parti itu dan menyertai PAS.

Malah Adun Rembia Dato’ Muhammad Jailani Khamis dilapor hadir ke rumah terbuka Perikatan Nasional Melaka yang diadakan di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bemban, Jasin baru-baru ini.

Umno Melaka dilanda masalah dalaman sehingga Adun Lendu Dato’ Seri Sulaiman terpaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Mac lepas. Dan tempatnya diganti Dato’ Seri Ab Rauf Yusoh.

Ekoran perubahan pucuk pimpinan kerajaan Melaka, Rauf menggugurkan dua Exco lama Muhammad Jailani Khamis dan Adun Serkam Dato’ Zaidi Attan.

Asri juga berkata, PAS Melaka sentiasa menjunjung politik bebas rasuah, bebas salahguna kuasa dan urus tadbir yang jujur dan berintegriti. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -