Kewangan jadi kekangan tanam semula pokok, restorasi hutan

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kekangan yang sering dihadapi bagi menggalakkan penanaman semula pokok dan restorasi hutan terosot adalah sumber kewangan, kata Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

- Advertisement -

Menurut NRECC, sumber kewangan yang diperlukan amat besar dan peruntukan yang diperolehi agak terhad berbanding dengan keluasan kawasan yang perlu dijalankan aktiviti penanaman semula pokok dan restorasi hutan.

Katanya, Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa urusan berkaitan tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Tambahnya, berdasarkan peruntukan seksyen 19 Akta 313, pemberian lesen bagi pengambilan hasil hutan dari Hutan Simpanan Kekal (HSK) atau Tanah Kerajaan adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

“Dalam hubungan ini, penetapan dasar moratorium bagi membekukan aktiviti pembalakan dalam kawasan hutan simpanan kekal di negeri adalah di bawah bidang kuasa PBN sebagaimana dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Johor pada masa ini,” ujar NRECC dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin.

Khairil Nizam dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan apakah kekangan daripada pihak kementerian untuk melaksanakan moratorium kepada pembalakan hutan supaya dapat mengurangkan pembalakan serta menggalakkan penanaman semula sepertimana yang sudah dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri semasa beliau menjadi Ketua Pembangkang. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -