Kenaikan mata wang AS buli Ringgit Malaysia

Ahamed Kameel
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan kadar mata wang dolar Amerika Syarikat (Dolar AS) kini telah ‘membuli; matawang-matawang lain termasuklah Ringgit Malaysia.

Dekan Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, Prof. Dato’ Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata apabila AS menaikkan kadar faedah, ia turut melemahkan mata wang negara ini.

- Advertisement -

“Ia akan menarik pelabur dari luar untuk melabur ke dalam pasaran kewangan Amerika Syarikat tetapi secara tidak langsung, negara-negara lain dijadikan (akan terkena) tempias termasuklah Malaysia,” katanya.

Beliau mengulas perkembangan terkini yang menyaksikan Ringgit Malaysia terus lemah atas paras 4.50 berbanding dolar AS pada awal minggu ini.

Menurut Ahamed Kameel, kewangan AS adalah terlalu tinggi kerana negara tersebut mempunyai hutang yang amat tinggi.

“Ini menyebabkan AS terpaksa menaikkan siling hutangnya; dan seperti yang kita tahu, setiap hutang negara perlu dibayar semula berserta kadar faedah.

“Kesannya, hutang tersebut yang terkumpul tidak mungkin dapat dibayar hasil daripada kenaikan kadar faedahnya bukan sahaja pada tahun ini, malah juga tahun-tahun sebelumnya,” jelasnya.

Beliau menyatakan bahawa walaupun dasar tersebut telah menaikkan nilai dolar AS tetapi hanya bersifat sementara kerana ianya berpotensi menyebabkan kerosakan matawangnya sendiri.

“Ia akan menuju ke hiperinflasi seperti mana berlakunya di Zimbabwe yang menyebabkan hilangnya kepercayaan orang ramai terhadapnya,”

“Oleh sebab itu saya menggelarkan dolar AS sebagai pembuli kerana naik turunnya tetap menyebabkan negara-negara lain termasuklah Malaysia menjadi mangsa keadaan,” tegasnya.

Apabila ditanya mengenai langkah yang boleh diambil, beliau menasihatkan seluruh rakyat agar menjalani kehidupan yang bebas hutang.

“Ini bertujuan supaya ekonomi mereka tidak akan terjejas dengan teruk dan sambil itu, mereka juga boleh mengumpul sedikit aset seperti emas sebagai perlindungan daripada setiap masalah inflasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -