Kebakaran bangunan KWSP cetus isu penyelenggaraan

KUALA LUMPUR: Kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Isnin lalu, menyebabkan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mempersoalkan tahap keselamatan bangunan itu yang juga pernah terbakar pada 2018.

Beliau bangkit meminta penjelasan kerajaan berhubung siasatan yang dijalankan susulan kebakaran terbaharu bangunan KWSP.

Advertisement

Beliau bertanya, adakah bangunan KWSP telah mencapai piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP).

“Jika JKPP dan MNKPP telah memaklumkan mengenai piawaian tersebut tetapi ia tidak dipatuhi, kemungkinan KWSP perlu meningkatkan tahap penyelenggaraan terhadap bangunan tersebut,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia mengesahkan masih belum menerima hasil siasatan berhubung kejadian kebakaran membabitkan bangunan KWSP di Jalan Gasing.

Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud berkata: “Kita belum terima laporan terkini hasil siasatan kebakaran (bangunan KWSP).

“Namun, jika ada hasil siasatan tentang kebakaran baru-baru ini, kita akan maklumkan secara bertulis kepada YB Pendang,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2023