Iran, Indonesia meterai perjanjian dagangan RM92 bilion

Ebrahim Raisi (kiri) dan Joko Widodo melambai kepada barisan jurugambar media dalam pertemuan mereka di Istana Presiden di Bogor, Indonesia pada 23 Mei 2023. (FOTO: REUTERS/Ajeng Dinar Ulfiana)
- Advertisement -

JAKARTA: Indonesia dan dan Iran telah menandatangani perjanjian perdagangan keutamaan bernilai AS$20 bilion (RM92 bilion) untuk meningkatkan perdagangan dan hubungan perniagaan antara kedua-dua negara.

Ia adalah hasil pertemuan Presiden Iran, Ebrahim Raisi dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Selasa (23 Mei) untuk membincangkan cara-cara mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara tersebut, lapor Tehran Times.

- Advertisement -

Sepuluh lagi perjanjian kerjasama dalam bidang berbeza, termasuk minyak dan gas, turut ditandatangani di hadapan kedua-dua presiden berkenaan.

Terdahulu, Raisi tiba dalam lawatan dua hari ke Indonesia dan disambut oleh Widodo di istana presiden di Bogo.

Berucap pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Indonesia, Raisi berkata, pemeteraian pelbagai perjanjian kerjasama dalam pelbagai bidang menunjukkan keazaman kedua-dua negara untuk membangunkan hubungan dalam semua bidang.

Merujuk kepada matlamat meningkatkan jumlah perdagangan dua hala kepada AS$20 bilion, Raisi menegaskan bahawa  kedua-dua negara telah memutuskan untuk ‘menjalankan pertukaran mereka dengan mata wang negara’.

Jumlah dagangan semasa antara Iran dan Indonesia berjumlah hampir AS$1 bilion dengan bakinya sangat memihak kepada Tehran, yang eksportnya ke Indonesia bernilai AS$847 juta. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -