Henan berminat buka cawangan di Kedah Aerotropolis

- Advertisement -

LANGKAWI: Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Henan, China baru-baru ini bakal merealisasikan pembangunan Kedah Aerotropolis seperti dirancang kerajaan negeri sebelum ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perjanjian yang diadakan di Zhengzhou beberapa hari lalu, membuka jalan usaha sama Henan membuka cawangannya di Kedah Aerotropolis.

“Bandar Henan antara yang pesat membangun dengan adanya Aerotropolis atau lapangan terbang yang memberi fokus kepada penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Dengan termeterainya MoU itu, mereka bersetuju mengadakan usaha sama dan membuka cawangan Aerotropolis di Kedah,” katanya selepas menyaksikan MoU Kedah Aerotropolis dengan enam syarikat antarabangsa di tapak pameran Kedah Aerotropolis, Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023) semalam.

Berikutan itu, kata beliau tidak ada apa lagi halangan yang boleh merencatkan rancangan kerajaan negeri untuk memiliki Kedah Aerotropolis.

Muhammad Sanusi juga berkata Kedah Aerotropolis bakal menjadi game changer negeri itu dan pemangkin pembangunan ke arah merealisasikan The Greater Kedah.

Menurutnya Kedah Aerotropolis sedang mendahului semua konsep baharu ekonomi, di mana dahulu pembangunan ekonomi berkonsep pelabuhan bagi membangun ekonomi setempat.

“Tetapi sekarang di mana ada lapangan terbang, di situ akan wujud kepesatan kemajuan ekonomi,” tambahnya.

Pada majlis itu Sanusi turut diberi penghargaan merasmikan booth pameran Kedah Aerotropolis yang mengambil bahagian sempena LIMA23 bermula semalam hingga 27 Mei ini.

Sementara dalam perkembangan lain, Menteri Besar menyambut berangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, petang ini.

Turut berangkat menyaksikan LIMA23 termasuklah Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al-Nahyan.

Keberangkan tiba rombongan Diraja itu juga disambut Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!