Harga rendah himpit kehidupan pengusaha getah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membantu pengusaha getah beralih ke tanaman lain jika harga lantai getah sekerap tidak meningkat.

- Advertisement -

Hassan Saad (PN-Baling) berkata, keadaan bertambah parah apabila harga barang keperluan harian naik mendadak walaupun kerajaan menafikan.

“Harapan pengusaha getah agak tipis untuk menikmati harga yang dicadangkan, lebih-lebih lagi keadaan harga barang dan keperluan harian naik mendadak walaupun menteri menafikan.

“Soalan saya, adakah kerajaan bercadang untuk memberi atau menyediakan peruntukan bagi pengusaha tanaman getah untuk bertukar kepada tanaman lain seperti sawit.

“Keadaan akan lebih parah pada masa depan jika harga sekarang tidak meningkat. Jadi, apakah kerajaan bersedia untuk membantu mereka menukar kepada tanaman yang lain,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengikut soalan asal, beliau meminta Kementerian Perladangan dan Komoditi menyatakan sama ada bercadang untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3 sekilogram.

“Ini bagi menyerap impak kejatuhan pendapatan penoreh dan apakah halangan kementerian untuk menaikkan harga lantai getah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Aminah Aching berkata, ketika ini kerajaan tidak bercadang menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) kepada RM3 sekilogram.

“Jika PHP Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dinaikkan kepada RM3 sekilogram berbanding RM2.70 sekarang, anggaran keperluan kewangan kerajaan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM457 juta.

“Ini berdasarkan unjuran jumlah pengeluaran getah sebanyak 400,000 tan dengan harga purata tahunan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 pada RM6.10 sekilogram,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -