
NEW YORK: Kira-kira 43,000 orang dianggarkan telah terkorban akibat konflik bersenjata sepanjang tahun 2022; dan sehubungan itu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa perang akan memusnahkan kehidupan di seluruh dunia.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata, sepanjang 2022, 94 peratus mangsa perang adalah mereka yang tinggal di kawasan penempatan orang awam, lapor AP.
“Jumlah penduduk yang terpaksa keluar dari rumah mereka kerana konflik, keganasan, pencabulan hak asasi manusia dan penganiayaan mencecah 100 juta pelarian,” katanya dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai perlindungan orang awam dalam konflik bersenjata pada Selasa (23 Mei).
Beliau berkata konflik tersebut mendorong kepada ancaman terhadap keselamatan makanan global.
“Tahun lalu juga, lebih 117 juta orang menghadapi kelaparan teruk terutamanya kerana peperangan dan ketidakamanan global.
“Kebenaran yang mengerikan ialah dunia gagal memenuhi komitmennya untuk melindungi orang awam; komitmen yang termaktub dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya yang menuntut pihak yang melakukan jenayah perang dipertanggungjawabkan. – HARAKAHDAILY 24/5/2023