BNPL boleh burukkan masalah hutang rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan terhadap keberkesanan kawal selia penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank yang semakin rancak di negara ini seperti perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL).

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pagoh berkata, perkara ini penting bagi melindungi pengguna, terutama dalam kalangan belia supaya tidak terjerat dengan hutang berikutan Akta Kredit Pengguna masih belum dibentang.

Menurutnya, perkhidmatan BNPL yang kebanyakan berkaitan platform e-dagang mengenakan kadar caj yang tinggi jika terlewat bayar ansuran bulanan.

Malah, katanya kadar caj atau faedah BNPL boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kadar caj untuk kad kredit.

“Jika dilihat dari sudut makro, BNPL boleh memberi kesan kepada kadar hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi iaitu 89 peratus berbanding 2021.

“Melihat kepada kadar hutang isi rumah di Malaysia yang semakin meningkat dari RM1.27 trilion kepada RM1.34 trilion, BNPL boleh memburukkan masalah keberhutangan isi rumah jika tiada sebarang bentuk intervensi tuntas dari pihak kerajaan,” katanya.

Mantan Perdana Menteri berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Insolvensi 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin berkata, berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, faktor terbesar kes kebankrapan adalah pinjaman peribadi dengan jumlah kes 20,754 (42.24 peratus) manakala pinjaman sewa beli kenderaan menyumbang 7,072 kes (14.39 peratus).

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa kerajaan wajar meneliti cadangan Cuepacs berhubung had tempoh bayaran pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan supaya dapat dipanjangkan dari 10 tahun kepada 20 tahun, bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Sementara itu, katanya statistik Jabatan Insolvensi Malaysia antara tahun 2019 hingga 2023 menunjukkan orang Melayu mencatatkan kes bankrap tertinggi, iaitu sebanyak 58.28 peratus, manakala Cina (24.96 peratus), India (7.91 peratus) dan lain-lain (8.67 peratus).

Jika dilihat dari segi ambang keberhutangan, katanya sebahagian besar kes kebankrapan (64.8 peratus) adalah antara RM100,000 hingga RM499,999, manakala 20.96 peratus untuk ambang antara RM50,000 hingga RM99,999.

“Justeru, apakah perancangan khusus kerajaan terhadap kes kebankrapan melibatkan hutang melebihi RM50,000, memandangkan hanya 50 peratus, iaitu sekitar 130,000 orang daripada 260,000 kes bankrap yang layak untuk mendapat pelepasan kebankrapan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -