Apa khabar air Pulau Pinang?

SAYA merujuk kepada kenyataan media Jabatan Alam Sekitar melalui maklum balas terhadap isu ketidakpatuhan Loji Rawatan Air Sungai Dua, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd bertarikh 20 Mei 2023.

Pertama wujudnya isu ketidakpatuhan pelepasan efluen dan pengurusan alum sludge dari loji Sungai Dua sejak 2020. Sejak itu beberapa amaran telah dikeluarkan oleh JAS dan sehingga kini ia masih belum menemui titik penamat.

Efluen adalah sisa buangan atau kumuhan melibatkan cecair kimia yang mengalir ke sungai dan seterusnya ke laut manakala alum sludge adalah buangan enap cemar ekoran pemprosesan air bersih yang masuk kategori sisa berjadual mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005, yang tidak disalurkan ke takungan sepatutnya.

Kedua, melalui kenyataan media ini juga boleh disoalkan apakah langkah penyelesaian yang telah diambil oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang melibatkan pencemaran sungai termasuk Sungai Prai setelah lebih dua tahun teguran dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar?

Ketiga, barangkali jika tidak ditularkan dan JAS tidak membuat pemeriksaan, keadaan ini akan kekal beroperasi secara tidak  patuh.

Apakah urus tadbir ketidakpatuhan menjadi amalan di sana?

Walau apa pun jawapannya, saya percaya selain mencari jalan mudah dengan menyalurkan sisa buangan dan enap cemar ke sungai, keselamatan dan kesihatan rakyat terlebih perlu untuk diutamakan. 

Isu ini harapnya diberikan perhatian dan langkah penyelesaian perlu didedahkan kepada rakyat, terutama melibatkan kawasan sekitar sungai yang berkaitan.

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
04 Zulkaedah 1444 / 24 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 24/5/2023

Advertisement