24,000 rumah setinggan tak terurus di Sabah

Dr. Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kewujudan kawasan setinggan yang sekian lama tidak terurus sejak tahun 70an menjadi punca kepada masalah air dan elektrik berterusan tanpa penyelesaian di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  lantikan Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, berdasarkan data daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) Sabah, terdapat 24,000 rumah setinggan yang perlu diuruskan dengan baik dan sistematik.

- Advertisement -

“Perlu ada polisi dan ini sasaran yang perlu kita selesaikan terlebih dahulu. Jika tidak selesai, maka perkara ini akan sentiasa berulang-ulang,” katanya yang juga merangkap  Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat. 

Beliau berkata demikian  dalam perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah pada persidangan DUN Sabah, semalam yang menyaksikan isu bekalan air dan elektrik yang melanda Sabah telah mendominasi sesi perbahasan dalam persidangan tersebut.

Menurutnya disebabkan masalah tersebut yang tiada jalan penyelesaian, rakyat Sabah sedang menderita kerana masih tidak dapat merasai nikmat selepas 60 tahun Sabah merdeka.

“Kita tidak nafi banyak kebaikan yang dirasai, tapi kita masih membicarakan soal kemudahan-kemudahan asas di mana-mana pun menjadi perbicaraan dan persoalan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -