12 Ahli Parlimen dilantik anggota PAC

Dewan Rakyat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) adalah antara 12 orang yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi Penggal Parlimen Ke-15.

- Advertisement -

Pelantikan mereka melengkapkan keanggotaan PAC seramai 14 orang, iaitu sembilan Ahli Parlimen kerajaan dan lima pembangkang.

Pemilihan anggota PAC dibuat Jawatankuasa Pemilih, semalam, selepas Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Pengerusi, bulan lalu, manakala Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dari Pakatan Harapan (PH) sebagai Naib Pengerusi.

Empat anggota PAC dari PN yang baru dilantik ialah Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik), Datuk Ali Biju (PN-Saratok) dan Dr Halimah Ali (PN-Kapar).

Lapan anggota PAC lain yang dilantik ialah Syahredzan Johan (PH-Bangi), Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju), Dr Richard Rapu (GPS-Betong) dan Azli Yusof (PH-Shah Alam).

PAC ialah Jawatankuasa Parlimen yang dibentuk untuk meneliti laporan Ketua Audit Negara dan meneliti kewangan kerajaan serta wang yang diperuntukkan oleh Parlimen untuk perbelanjaan awam.

Antara kuasa jawatankuasa itu termasuk memanggil menteri, orang awam, penjawat awam dan pegawai lain ke jawatankuasa itu untuk disoal siasat, selain membuat susulan terhadap penemuan audit awam.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul ketika memaklumkan mengenai pelantikan itu di Dewan Rakyat, hari ini, meminta semua Ahli Parlimen memberikan kerjasama yang baik kepada 12 anggota baharu PAC.

“Saya ucapkan syabas dan mereka membawa satu tanggungjawab berat, maka bantulah mereka,” katanya.

Mas Ermieyati pula berkata, semua 12 ahli PAC yang dipilih mempunyai pelbagai latar belakang profesional seperti doktor, peguam dan jurutera, selain latar belakang akademik dalam bidang pengurusan, media dan kewangan.

Katanya, ada dalam kalangan ahli pernah menjawat jawatan dalam kerajaan, termasuk bekas Menteri Pengajian Tinggi, Noraini, yang pernah menerajui PAC antara April 2019 hingga Mac 2020.

“Ia membuktikan kedudukan dan kredibiliti PAC sentiasa dipandang tinggi dalam kalangan Ahli Parlimen. Pengalaman ahli PAC, termasuk saya yang pernah menjawat jawatan dalam kerajaan sudah pasti dapat menjadikan PAC lebih berwibawa dan dihormati, dalam memastikan setiap laporan yang dibentangkan mempunyai impak kepada kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2023

- Advertisement -