Sagu hati Aidilfitri AKSB

Mohamad Kamal Mohamed
- Advertisement -

KITA mengambil maklum sebaran yang dibuat melibatkan pentadbiran AKSB berkaitan pemberian saguhati kepada ahli lembaga pengarah, kakitangan dan setiausaha syarikat.

- Advertisement -

Pertama, walaupun dokumen bertahap sulit dan hanya boleh dicapai oleh segolongan orang tertentu sahaja tetapi ia kini telah disebar secara tidak wajar untuk tujuan memberikan persepsi negatif terhadap AKSB.

Kedua, adalah menjadi prosedur biasa sagu hati setahun sekali diberikan kepada ahli lembaga pengarah sebagai menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan-keputusan dasar kepada pihak pengurusan.

Lagi pula sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu 7 daripada 9 orang adalah anggota yang profesional dalam aspek pengurusan dan teknikal air yang tiada apa-apa jawatan dalam parti.

Ketiga, soal perbandingan dengan jumlah kepada kakitangan. Pada saya ianya tidak berbangkit kerana sebelum perkara ini viral, langkah penambahbaikan telah dibuat oleh pengurusan AKSB untuk kebajikan kakitangan bagi menghadapi hari raya seperti penjawat awam yang lain.

Keempat, jikalah orang PAS sejahat mereka yang menyebarkan dokumen sulit dan berniat memburukkan kerajaan, boleh sahaja didedahkan bayaran-bayaran one off bersifat setahun sekali kepada ahli lembaga pengarah GLC Persekutuan yang bukan sedikit juga jumlahnya termasuk syarikat air negeri-negeri.

Kelima, saya masih optimis dengan tatakelola yang baik bukan sahaja menjauhi rasuah tetapi juga melibatkan soal integriti termasuk tindakan perut pedal hodoh mereka yang berniat jahat mendedahkan sesuatu yang secara pentadbirannya biasa diamalkan.

Tinggal lagi saya mohon mencadangkan agar AKSB boleh menyiasat kebocoran dokumen sulit dalam kalangan kakitangan dan membawa orang yang wewenang mencanangkan prosedur dalaman kepada hebahan awam dengan niat secara tidak baik kepada pihak pengadilan.

Dokumen sulit itu adalah dokumen yang dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
3 Zulkaedah 1444/ 23 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -