Pastikan penswastaan DNB beri pulangan setimpal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) meminta kerajaan memberi jaminan apabila Digital Nasional Bhd (DNB) diserahkan kepada syarikat swasta nanti, maka kerajaan boleh mendapatkan penilaian seperti dikeluarkan Maybank Investment Bank..

Katanya, institusi kewangan berkenaan menilai DNB sebanyak RM15 bilion berdasarkan peruntukan spektrum selama 15 tahun.

- Advertisement -

Selain itu, katanya adakah akan berlaku perubahan dari Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) kepada Rangkaian Pemborong Dual (DWN) atau dua pengendali membuat liputan pemborong dan runcit.

“Ketiga dan terakhir, adakah monopoli lain oleh kerajaan seperti elektrik, air, lebuh raya, malah operasi sekolah amanah di bawah Kementerian Pendidikan juga akan dipecahkan dengan semangat pecah monopoli ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ketika menjawab persoalan ini berkata, liputan telekomunikasi itu meliputi kedua-dua, iaitu pemborong dan runcit.

“Kedua, walaupun peraturan dan perjanjian dengan DNB itu terpakai, kita kena faham bahawa peralihan ke rangkaian kedua itu bukan sekarang. Setelah diikuti dalam satu jaringan DNB sekarang supaya tidak ada percanggahan pertindihan kos.

“Kalau kita pecah sekarang, maknanya prasarana yang telah disiapkan itu akan ditambah lagi dan akhirnya sekarang ini, keputusan kita menggunakan prasarana sedia ada dengan penglibatan syarikat telekomunikasi yang ada supaya lebih telus,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -