Maksud baharu RFID gamatkan Dewan Rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berseloroh berhubung masalah penggunaan sistem RFID apabila menyatakan bahawa maksud RFID bukan Radio Frequency Identification, tetapi “Reverse Forward Insya-Allah Detect.”

Menurutnya, sistem RFID bertujuan menjadikan laluan tol tanpa henti, tetapi kebetulan ketika hendak ke Parlimen melalui lebuh raya di Sentul Pasar hari ini, terdapat dua kereta terkial-kial ketika melalui lorong RFID.

- Advertisement -

“Sampaikan kita berseloroh (Ahli Parlimen) Hulu Terengganu, Hulu Terengganu (Dato’ Rosol Wahid) berkata RFID itu bukan Radio Frequency Identification tetapi “Reverse Forward Insya-Allah Detect” yang mungkin berlaku di tempat lain.

“Soalan saya, adakah Kementerian Kerja Raya akan melakukan audit atau tinjauan secara berkala atau secara rawak di tol RFID negara ini, termasuk 12 lorong baru dilaksanakan bagi melihat kecekapan sistem ini secara berkala,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata kerajaan sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) untuk memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya.

Selaras dengan hasrat kerajaan melaksanakan MLFF pada 2025, katanya mod pilihan pembayaran kepada pengguna akan dipelbagaikan dan tidak terhad kepada satu skim penyedia pembayaran sahaja seperti sekarang.

“Ini secara tidak langsung akan membantu pengguna mengatasi isu kekurangan baki sewaktu melalui gantri di plaza tol dan seterusnya melancarkan pergerakan pengguna lebuh raya,” katanya.

Beliau mengakui berlaku sedikit kekurangan terutama dari sudut teknikal ketika dalam proses menambah baik dan memantapkan sistem RFID.

Sehubungan itu, katanya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meminta syarikat pengendali lebuh raya untuk membuat pelarasan lebih kerap di lorong terbabit supaya kecekapan dapat dipertingkatkan.

Beliau berkata, pengendali lebuh raya juga diminta membuat hebahan kesedaran kepada pengguna supaya mempunyai baki mencukupi, selain menyarankan pengguna menyemak baki eWallet sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan tiada gangguan ketika melakukan transaksi bayaran tol. – HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -