Kanak-kanak berdepan isu kesihatan mental

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, isu kesihatan mental bukan hanya melibatkan golongan dewasa, malah kanak-kanak tidak terkecuali mengalaminya.

“Kita perlu sedar bahawa isu kesihatan mental tidak hanya melanda golongan dewasa, bahkan apa yang membimbangkan kes prevalens (tersebar luas) dalam kalangan kanak-kanak.

- Advertisement -

“Tinjauan Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan 2019 mengesahkan 424,000 kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental dan separuh daripada mereka dikenal pasti sejak usia 14 tahun, manakala sebahagian lain dikesan ketika usia awal remaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, meminta kerajaan menyatakan bilangan guru kaunseling yang menerima latihan khusus berkaitan kesihatan mental bagi menangani masalah itu yang berada pada tahap membimbangkan.

Beliau juga ingin tahu sejauh mana sekolah melaksanakan jaringan strategik dengan pakar psikiatrik di hospital berdekatan dan sejauh mana penglibatan mereka dalam pelan pengurusan kemurungan bunuh diri dan bencana.

Ketika bacaan kali pertama pada April lalu, pindaan RUU ini membolehkan pegawai intervensi krisis menangkap mana-mana orang yang cuba membunuh diri.

Selain itu, pegawai intervensi krisis ketika menjalankan kuasa mengikut subseksyen (2) untuk memecah mana-mana pintu atau tingkap luar atau dalam mana-mana premis dan masuk ke dalam, atau selainnya masuk secara paksa ke dalam premis dan mana-mana bahagian premis itu atau memindahkan secara paksa apa-apa halangan kepada laluan masuk itu. – HARAKAHDAILY 23/5/2023

- Advertisement -