‘Jatuhkan kerajaan melalui demokrasi’

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KAMPAR: “Soal mahu menjatuhkan kerajaan mesti (dibuat) melalui demokrasi, dengan berlunaskan undang-undang,” kata Naib Presiden PAS Malaysia, Datuk Idris Ahmad.

“Mana ada pembangkang yang sokong kerajaan? Kalau pembangkang yang sokong kerajaan, tu otak tak berapa nak betul. 

- Advertisement -

“Perlu ingat, cara demokrasi yang betul bukanlah dengan mengajak hadirin memegang senjata, tetapi dengan cara pilihan raya,” tegasnya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Bagan Serai berkata demikian dalam ucapan perasmian di Majlis Konvensyen PAS Negeri Perak, di sini, baru-baru ini.

Apabila ditanya bilakah kerajaan pusat akan jatuh, beliau enggan mengulas lanjut, sekadar berkias penuh makna: “Buah yang buruk ni tunggu dia gugur dengan sendirinya sahaja.”

Idris dalam pada itu turut menggesa hadirin majlis konvensyen berkenaan agar memimpin jentera PAS dengan cara yang benar melalui perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian serta bekerja dalam kumpulan dalam mencapai tujuan.

Menurutnya, tidak dinafikan kebanyakan ahli PAS yang ditarbiyah dalam jemaah adalah juga seorang pegawai-pegawai kerajaan yang cemerlang di tempat kerjanya kerana PAS merupakan sebuah universiti. 

Ahli PAS, ujar beliau, mampu mengurus dengan baik berbanding parti lain yang tidak mampu menguruskan isu termasuk dalam menguruskan aduan rakyat dengan baik.

“Sewaktu tiada pegawai kita mampu buat kerja, takkan dengan menjadi kerajaan yang mempunyai barisan pegawai kita tak mampu?” tegas beliau yang menggambarkan kesediaan PAS untuk menjadi kerajaan.

“Pemimpin dan ahli yang bekerja dalam kerajaan turut diperingatkan agar menjaga ukhuwah, mengutamakan jemaah, menghormati dan menjaga jiwa ahli dan orang bawahan biarpun dalam kemenangan dan tidak mewujudkan jemaah dalam jemaah,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!