Isu kalimah Allah: Anwar kemuka jawapan politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini, berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes penggunaan kalimah Allah disifatkan sebagai jawapan politik.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendakwa kenyataan itu dibuat oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun secara peribadi kepadanya sebaik sahaja Perdana Menteri selesai memberikan jawapan itu pada sesi waktu pertanyaan menteri.

“Kita tak dengar kenyataan daripada Peguam Negara lagi, itu kita serah kepada Peguam Negara menjawab perkara ini. Saya kebetulan tadi keluar dari dewan, saya berjumpa Peguam Negara. Biarlah saya bertanggungjawab. Ini kenyataan saya dan saya tanya, “Macam mana Tan Sri?”

- Advertisement -

Dia (Idrus) kata, kita dengarlah jawapan politik. Ini apa yang keluar daripada mulut Peguam Negara. Saya bertanggungjawab dengan kenyataan ini. Saya ada saksi pun yang keluar bersama saya tadi.

“Dia (Idrus) kata datang dengar jawapan politik,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Anwar memberitahu bahawa tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah bertujuan mengelak sebarang keputusan dibuat berterusan bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.

Beliau dilaporkan berkata, penarikan rayuan itu memberi ruang kepada kerajaan untuk menambah baik semua aspek, selain selaras dengan pandangan serta nasihat Peguam Negara.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun antara lain menyangkal dakwaan keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes terbabit tidak dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, selain menegaskan tuduhan demikian tidak sepatutnya timbul.

Katanya, ini kerana keputusan kes Jill Ireland Lawrence Bill lawan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja yang menyatakan nama Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung dengan kelonggaran secara bersyarat diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, adalah ‘tidak munasabah’ untuk seseorang peguam yang telah mencadangkan agar memfailkan rayuan terhadap sesuatu kes, untuk menarik semula keputusan tersebut.

“Satu aspek yang kami persoalkan ialah ini nasihat daripada Peguam Negara. Siapa Peguam Negara pada masa kes ini difailkan rayuan? Dia adalah Peguam Negara yang sama yang ada pada hari ini (Idrus).

Takiyuddin ketika berbahas mengenai isu kalimah Allah di Dewan Rakyat – Gambar Jabatan Penerangan

“Logik atau tidak orang yang sama, yang dulu menasihat kerajaan masukkan rayuan, sekarang ini menasihat kerajaan untuk tarik balik rayuan. Munasabah tak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PN juga mempersoalkan adakah keputusan kerajaan untuk menarik rayuan berhubung kes tersebut dirujuk kepada Yang Dipertuan Agong, sebelum atau selepas keputusan dibuat.

“Kedua, apabila kita tanya pula pendirian kerajaan dan Perdana Menteri, atas asas apa dia tarik balik kes ini, sedangkan satu-satu keputusan mahkamah, kita sebagai kerajaan memerlukan keputusan di mahkamah yang tertinggi.

“Ini kes mahkamah tinggi, sepatutnya dengar dulu ke Mahkamah Rayuan yang mempunyai minimum tiga orang hakim. Kemudian, tak puas hati (bawa kes) ke Mahkamah Persekutuan. Kenapa kerajaan tidak mengambil langkah sebegitu,” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya membiarkan mahkamah membuat keputusan berhubung rayuan dalam kes penggunaan kalimah Allah.

“Biarlah undang-undang mengambil tempatnya dan biar mahkamah buat keputusan. Kerajaan tak boleh campur. Kalau kerajaan sebagai badan eksekutif campur tangan dalam kehakiman, ini lah yang menjadi masalah,” katanya. – HARAKAHDAILY 23//5/2023

- Advertisement -