Rawat, bukan hukum individu cuba bunuh diri

Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyediakan pusat bagi memulihkan atau merawat individu yang cuba membunuh diri dan bukannya menghukum mereka.

Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata langkah menyediakan pusat berkenaan adalah bagi mengurangkan tingkah laku atau cubaan bunuh diri daripada berleluasa. 

- Advertisement -

“Saya harap akan ada satu tanggungjawab sebagai kerajaan di negara kita menyediakan satu pusat untuk memulihkan atau merawat individu yang cuba membunuh diri.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (Nombor 2) 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, berdasarkan laporan dalam media dan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kemurungan adalah salah satu faktor yang paling utama bagaimana cubaan bunuh diri ataupun tingkah laku bunuh diri ini berlaku di Malaysia.

“Saya juga melihat bahawa berkaitan dengan masalah kesihatan mental yang cukup jelas mempunyai faktor seperti halusinasi dan delusi di luar kemampuan untuk mereka membuat pemikiran ataupun tindakan bunuh diri, dan ia juga disebutkan kecelaruan.

“Justeru, rawatan sebaiknya dari sudut keagamaan perlu diberikan agar individu tersebut dapat dipulihkan dan bukan sekadar dengan hukuman,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -